Galatia
1
Daripada Paulus, seorang rasul – bukan daripada manusia atau melalui manusia, tetapi melalui Isa al-Masih dan Allah Bapa, yang telah membangkitkan-Nya daripada kematian – dan daripada semua saudara yang bersamaku,
 
Kepada semua jemaah di Galatia:
 
Kasih kurnia dan sejahtera kepadamu daripada Allah Bapa dan daripada Junjungan Isa al-Masih yang telah menyerahkan diri-Nya untuk menebus dosa kita agar Dia melepaskan kita daripada zaman durjana ini, menurut kehendak Bapa kita Allah. Bagi-Nyalah kemuliaan selama-lamanya. Amin.
Hanya satu Injil
Aku hairan bahawa kamu telah berpaling begitu cepat daripada Dia yang telah memanggilmu dalam kasih kurnia al-Masih, kepada suatu injil lain – yang bukannya injil. Tetapi ada orang yang mengacau kamu dan hendak memesongkan Injil al-Masih. Tetapi jikalau kami atau malaikat dari syurga sekalipun kelak mengkhabarkan kepadamu suatu injil yang lain daripada Injil yang telah kami khabarkan kepadamu, maka terlaknatlah orang yang mengkhabarkan itu! Sebagaimana aku sudah berkata dulu, sekarang kukatakan lagi: Jika sesiapa mengkhabarkan injil kepadamu lain daripada yang telah kamu terima, terlaknatlah orang itu!
10 Adakah aku hendak membuktikan diri kepada manusia atau kepada Allah? Adakah aku berusaha mendapatkan keredaan manusia atau keredaan Allah? Jika aku masih cuba mendapatkan keredaan manusia, aku bukanlah hamba al-Masih.
Bagaimana Paulus menjadi rasul
11 Aku memberitahu kepadamu, saudara-saudara, Injil yang kuajarkan bukanlah menurut manusia. 12 Aku tidak menerimanya daripada manusia, dan aku tidak pula mempelajarinya; tetapi Injil itu datang melalui wahyu daripada Isa al-Masih.
13 Kamu telah mendengar tentang kelakuanku dulu ketika dalam agama Yahudi, betapa aku telah menganiaya jemaah Allah habis-habisan dan cuba membinasakannya. 14 Aku jauh lebih maju dalam agama Yahudi daripada orang sebayaku di kalangan bangsaku, kerana aku teramat kuat berpegang kepada segala adat nenek moyangku. 15 Tetapi apabila Allah, yang telah mengasingkanku daripada rahim ibuku dan memanggilku, melalui kasih kurnia-Nya 16 untuk menyatakan Putera-Nya dalamku, berkenan agar aku mengajar tentang-Nya di kalangan bangsa lain, aku tidaklah bermesyuarat dengan sesama manusia. 17 Aku tidak juga pergi ke Baitulmaqdis untuk menemui mereka yang telah menjadi rasul terdahulu daripadaku, tetapi aku ke tanah Arab, lalu pulang semula ke Damsyik.
18 Tiga tahun kemudian, aku ke Baitulmaqdis bertemu dengan Petrus lalu tinggal dengannya lima belas hari. 19 Tetapi aku tidak melihat para rasul yang lain – kecuali Yakobus, saudara Junjungan. 20 Sesungguhnya, di hadapan Allah, perkara-perkara yang kutuliskan kepadamu ini benar, aku tidak berbohong. 21 Selepas itu aku pergi ke rantau Siria dan Kilikia. 22 Mukaku masih belum dikenali oleh jemaah di tanah Yudea yang mempercayai al-Masih. 23 Mereka hanya mendengar: ‘Orang yang dulu menganiaya kita sekarang mengajarkan iman yang hendak dibinasakannya dulu.’ 24 Lalu mereka memuji Allah keranaku.