6
Tuntutan mahkamah tidak digalakkan
1 Sekiranya salah seorang antara kamu bertikai dengan yang lain, wajarkah dia bawa perkara itu ke hadapan hakim yang tidak mengenal Allah dan bukan kepada orang salih?
2 Tidakkah kamu tahu bahawa orang salih akan mengadili dunia ini? Jika kamu mengadili dunia ini, tidak sanggupkah kamu mengadili perkara yang kecil?
3 Tidakkah kamu tahu bahawa kita akan mengadili para malaikat? Apatah lagi hal ehwal hidup sehari-hari?
4 Adakah kamu akan membawa perkara begitu ke hadapan orang yang langsung tidak ada kedudukan di kalangan jemaah?
5 Alangkah memalukan! Tentu ada seorang daripada kamu yang cukup bijaksana untuk menyelesaikan pertikaian antara saudara seiman.
6 Tetapi tidak, seorang saudara tergamak mendakwa saudara yang lain, justeru di hadapan orang yang tidak percaya!
7 Dengan adanya pendakwaan sesama kamu, jelaslah bahawa kamu sudah ditewaskan. Daripada yang demikian, bukankah lebih baik kamu dipersalahkan? Bukankah lebih baik kamu dirugikan.
8 Sebaliknya kamu sendiri yang bersalah dan merugikan saudara seimanmu sendiri!
9 Kamu tentu tahu bahawa orang yang tidak taat akan perintah Allah tidak akan menikmati kerajaan Allah. Janganlah menipu diri. Orang yang berkelakuan cabul, menyembah berhala, berzina, melakukan liwat,
10 mencuri, bersikap tamak, sering mabuk, mengumpat atau merompak – semuanya tidak akan menikmati kerajaan Allah.
11 Begitulah kelakuan sebilangan daripadamu dahulu. Tetapi kamu telah dibersihkan, dikuduskan dan diperbenarkan dalam nama Junjungan Isa al-Masih dan dengan Roh Allah Tuhan kita.
Percabulan
12 Segala-galanya halal bagiku, tetapi bukan segala-galanya berfaedah. Segala-galanya halal bagiku, tetapi aku tidak membiarkan sesuatu memperhamba diriku.
13 Makanan untuk perut dan perut untuk makanan. Ya, tetapi Allah akan menghapuskan kedua-duanya. Tubuh kita bukan untuk melakukan perbuatan cabul, tetapi untuk Tuhan, dan Tuhan untuk tubuh kita.
14 Allah telah membangkitkan Junjungan daripada kematian. Begitu jugalah Allah akan membangkitkan kita daripada kematian dengan kuasa-Nya.
15 Kamu tahu bahawa tubuh kamu itu sebahagian tubuh al-Masih; maka wajarkah kamu menjadikannya sebahagian tubuh seorang pelacur? Tidak sekali-kali!
16 Atau tidakkah kamu tahu bahawa seseorang yang bersetubuh dengan seorang pelacur itu menjadi satu tubuh dengan pelacur itu? Di dalam kitab suci jelas tersurat, ‘Mereka berdua menjadi satu.’
17 Apabila seseorang menyatukan diri dengan Tuhan, rohnya akan menjadi satu dengan Roh Tuhan.
18 Jauhilah perbuatan cabul. Dosa lain tidak dilakukan terhadap tubuh sendiri; tetapi seseorang yang melakukan perbuatan cabul berdosa terhadap tubuhnya sendiri.
19 Kamu tentu tahu bahawa tubuhmu itu tempat kediaman Roh Suci yang telah dikurniakan Allah kepadamu. Tubuhmu bukanlah milikmu, tetapi milik Allah.
20 Allah telah membelimu dengan harga yang sudah dibayar sepenuhnya. Oleh itu, gunakanlah tubuhmu untuk memuliakan Allah.