10
Paulus mempertahankan diri
1 Sekarang aku, Paulus, yang gementar ketika berhadapan denganmu tetapi berani ketika berjauhan, memohon sesuatu kepadamu atas sifat al-Masih yang lemah lembut dan rendah hati.
2 Aku memohon kepadamu, apabila aku datang nanti, janganlah sampai aku terpaksa menunjukkan keberanian di hadapanmu. Aku memang berniat untuk bertindak begitu terhadap beberapa orang yang menyangka bahawa kami hidup seperti orang duniawi.
3 Walaupun kami hidup di dunia, kami tidaklah berjuang secara duniawi.
4 Senjata-senjata kami bukanlah benda-benda duniawi tetapi kekuatan Ilahi untuk meruntuhkan benteng-benteng,
5 mematahkan hujah-hujah dan segala yang meninggikan diri menentang pengenalan Allah, menundukkan semua fikiran supaya mematuhi al-Masih,
6 serta bersedia menghukum segala keingkaran terhadap Allah apabila ketaatanmu disempurnakan.
7 Kamu hanya melihat sesuatu berdasarkan lahiriahnya. Jika seseorang yakin dalam hatinya bahawa dia milik al-Masih, hendaklah dia memikirkan pula, bahawa sebagaimana dia milik al-Masih, begitu jugalah kita ini milik al-Masih.
8 Kalaupun aku berbangga lebih sedikit tentang kewibawaan kami, yang diberikan oleh Tuhan kepada kami untuk membangunkan dan bukan membinasakan kamu, aku tidak akan berasa malu.
9 Ini kerana aku tidak mahu kamu menyangka bahawa aku hendak menakut-nakutkanmu dengan surat-suratku.
10 Ada yang berkata, ‘Surat-suratnya bernas dan tegas, tetapi apabila berhadapan muka, dia kelihatan daif dan pertuturannya pun tidak memberikan kesan.’
11 Orang yang berkata demikian haruslah menimbangkan hal ini: Bahawa sebagaimana kata-kata kami dalam surat ketika berjauhan, begitulah juga tindakan kami apabila berhadapan kelak.
12 Kami tidak berani menggolongkan atau membandingkan diri kami dengan mereka yang memuji diri sendiri. Apabila mereka menilai diri sendiri dan membandingkan diri sama sendiri, mereka tidaklah bertindak dengan bijaksana.
13 Sebaliknya, kami tidak akan berbangga berlebih-lebihan, tetapi dalam batas-batas lingkungan yang ditetapkan Allah untuk kami – lingkungan yang khususnya merangkum kamu.
14 Kami tidaklah melampaui batas-batas yang ditetapkan Allah, seolah-olah kami belum sampai ke tempatmu. Kamilah yang pertama datang membawa Injil al-Masih kepadamu.
15 Kami tidak berbangga di luar batas, iaitu tentang usaha orang lain; tetapi kami berharap bahawa dengan bertambahnya imanmu, kamu akan memperluas lingkungan kami.
16 Dengan demikian kami akan mengajarkan Injil di kawasan-kawasan yang lebih jauh lagi daripada tempatmu, dan tidak berbangga dalam lingkungan kerja orang lain.
17 ‘Tetapi seseorang yang bermegah, hendaklah bermegah di dalam Tuhan.’
18 Kerana yang dianggap mulia bukanlah orang yang memuji diri sendiri tetapi orang yang dipuji oleh Tuhan.