4
Harta rohani dalam bejana tanah
1 Dengan belas kasihan-Nya, Allah telah mengamanahkan pengabdian ini kepada kami. Oleh itu kami tidak tawar hati.
2 Kami menolak semua perbuatan rahsia yang memalukan. Kami juga tidak melakukan tipu daya atau menyalahertikan firman Allah, tetapi dengan menyatakan kebenaran, kami mengizinkan semua orang menilai kami dalam hati nurani mereka di hadapan Allah.
3 Namun, sekiranya Injil yang kami sampaikan itu tetap terselubung juga, maka memanglah Injil itu terselubung bagi mereka yang berada di jalan kebinasaan.
4 Fikiran orang yang tidak beriman itu telah dibutakan oleh tuhan pujaan dunia, maka mereka tidak dapat melihat terang cahaya Injil tentang kemuliaan al-Masih yang merupakan gambaran Allah.
5 Kami tidak menyebarkan berita tentang diri kami, tetapi tentang Isa al-Masih sebagai Junjungan Yang Esa. Diri kami mengabdi kepadamu kerana Isa.
6 Allah telah berfirman, ‘Hendaklah cahaya bersinar dari dalam gelap’. Allah juga yang telah membuat cahaya itu bersinar dalam hati kita, sehingga kita dapat mengenal kemuliaan Allah di wajah Isa al-Masih.
7 Tetapi kami memiliki harta yang ada dalam bejana tanah liat supaya jelaslah bahawa kuasa yang melebihi segala-galanya berasal daripada Allah, bukan daripada diri sendiri.
8 Dalam segala hal kami dihimpit, tetapi tidak hancur. Kami bingung, tetapi tidak putus asa.
9 Kami dianiaya, tetapi tidak ditinggalkan. Kami dijatuhkan, tetapi tidak dimusnahkan.
10 Ke mana pun kami pergi, kami sentiasa membawa kematian Isa dalam tubuh kami, supaya kehidupan-Nya nyata dalam tubuh kami.
11 Kami yang masih hidup ini sentiasa diserahkan ke tangan maut demi Isa, supaya kehidupan-Nya nyata dalam tubuh kami yang fana.
12 Oleh itu, maut bekerja dalam diri kami, sebaliknya hidup bekerja dalam dirimu.
13 Namun, oleh sebab kami mempunyai roh iman seperti yang tersurat, ‘Aku percaya, maka aku bersuara’, kami pun berkata, ‘Kami percaya, maka kami bersuara.’
14 Kami tahu bahawa Dia yang telah membangkitkan Isa, Junjungan kita, akan membangkitkan kami juga bersama Isa, lalu menghadapkan kami bersama kamu kepada-Nya.
15 Semuanya berlaku untukmu; dengan melimpahnya kasih kurnia kepada orang yang kian ramai, melimpah pulalah ucap syukur bagi kemuliaan Allah.
16 Dengan demikian, kami tidak tawar hati. Walaupun manusia lahiriah kami kian merosot, namun manusia batiniah kami diperbaharui setiap hari.
17 Kesusahan yang ringan dan hanya sedetik ini membawa bagi kami kemuliaan yang kekal tanpa bandingan.
18 Kami tidak mementingkan hal-hal yang kelihatan, tetapi hal-hal yang tidak kelihatan; kerana yang kelihatan itu cuma sedetik, manakala yang tidak kelihatan itu kekal.