2 Tesalonika
1
1 Daripada Paulus, Silwanus dan Timotius,
Kepada jemaah di Tesalonika dalam Allah, Bapa kita dan dalam Isa al-Masih:
2 Semoga kasih kurnia dan kesejahteraan Allah Bapa kita dan Junjungan Isa al-Masih menyertaimu.
Ucapan syukur dan doa
3 Kami mesti sentiasa bersyukur kepada Allah keranamu, saudara-saudaraku. Ini memang sepatutnya, kerana imanmu bertambah teguh dan kamu semakin kasih-mengasihi.
4 Dengan demikian kami berbangga denganmu di antara jemaah-jemaah Allah kerana kesabaran dan imanmu menanggung segala penganiayaan serta kesengsaraan.
5 Segala ini bukti nyata penghakiman yang adil daripada Allah, supaya kamu dikira layak memasuki kerajaan Allah, yang untuknya kamu telah menderita.
6 Allah akan melakukan keadilan, membalas dengan kesengsaraan terhadap mereka yang menyebabkan kamu sengsara, dan
7 Dia akan memberikan kelegaan kepadamu yang menderita dan juga kepada kami apabila Junjungan Isa muncul dari syurga diiringi malaikat-malaikat perkasa-Nya dengan api yang menyala.
8 Dia mengenakan hukuman kepada mereka yang tidak mengenal Allah, dan mereka yang tidak taat akan Injil Junjungan kita Isa al-Masih.
9 Mereka akan dihukum dengan kebinasaan selama-lamanya, tersingkir daripada hadirat Tuhan kita dan kemuliaan kuasa-Nya.
10 Semua itu akan berlaku apabila Dia datang, pada hari itu, untuk dimuliakan oleh para pengikut-Nya yang salih dan untuk diberi penghormatan oleh semua orang beriman. Ini termasuk kamu kerana kamu percaya kepada kesaksian kami di antara kamu.
11 Oleh itu kami sentiasa berdoa untukmu supaya Allah Tuhan kita menganggapmu layak dipanggil, dan supaya Dia memenuhi segala hasratmu berbuat kebajikan untuk-Nya serta menyempurnakan segala usaha imanmu dengan kuasa-Nya.
12 Dengan demikian, nama Isa, Junjungan kita, akan kamu muliakan dan kamu akan dimuliakan oleh-Nya, dengan kasih kurnia Allah Tuhan kita dan Junjungan Isa al-Masih.