3
Isa lebih tinggi daripada Musa
1 Dengan demikian, saudara-saudara yang salih, yang juga mendapat panggilan dari syurga, fikirkanlah Rasul dan Imam Besar yang kita akui, Isa al-Masih.
2 Dia setia kepada Allah yang melantik-Nya, sebagaimana Musa juga setia dalam seisi rumah Allah.
3 Dia dikira layak menerima lebih banyak kemuliaan daripada Musa, sebagaimana pembina rumah lebih dimuliakan daripada rumah.
4 Setiap rumah ada pembinanya, tetapi Dia yang membina segalanya ialah Allah.
5 Musa memang setia dalam seisi rumah Allah sebagai seorang khadam, untuk kesaksian terhadap segala perkara yang akan dikatakan kemudian.
6 Tetapi al-Masih setia sebagai Putera ke atas seisi rumah-Nya. Kita adalah isi rumah-Nya jika kita berpegang teguh kepada kebahagiaan harapan ini hingga ke akhir.
Amaran terhadap murtad
7 Oleh itu, sebagaimana dikatakan oleh Roh Suci:
‘Hari ini, jika kamu mendengar suara-Nya,
8 Jangan keraskan hatimu seperti
dalam pemberontakan dahulu
pada masa cubaan di gurun,
9 Ketika nenek moyangmu menguji-Ku, menduga-Ku,
meskipun mereka telah melihat perbuatan-Ku selama empat
puluh tahun.
10 Oleh itu Aku murka dengan keturunan itu,
dan Aku berkata, “Hati mereka sentiasa sesat, dan mereka tidak
mengenal jalan-Ku.”
11 Maka Aku bersumpah dalam
kemurkaan-Ku,
“Mereka tidak akan masuk ke
dalam rehat-Ku.” ’
12 Awaslah, saudara-saudara, jangan ada dalam diri seorang pun daripadamu hati durjana yang tidak beriman lalu berpaling daripada Allah yang hidup.
13 Nasihatilah sesama sendiri setiap hari, selagi masih disebut ‘Hari ini’, jangan sampai sesiapa di antaramu menjadi keras hatinya akibat dosa yang memperdaya.
14 Kita telah menyertai al-Masih jika kita berpegang kepada keyakinan kita yang kita miliki dari mula-mulanya hingga ke akhir,
15 seperti mana dikatakan:
‘Hari ini, jika kamu mendengar suara-Nya,
Jangan keraskan hatimu
seperti dalam pemberontakan dahulu.’
16 Siapa yang memberontak setelah mendengar? Bukankah semua mereka yang telah dibawa oleh Musa keluar dari Mesir?
17 Dengan siapakah Allah murka empat puluh tahun? Bukankah dengan mereka yang melakukan dosa, yang bergelimpangan mayatnya di gurun?
18 Dan kepada siapakah Allah bersumpah bahawa mereka tidak akan masuk ke dalam rehat-Nya? Tak lain tak bukan kepada mereka yang tidak taat.
19 Oleh itu nyatalah kepada kita bahawa mereka tidak dapat masuk kerana tidak beriman.