12
Amaran tentang kepuraan
1 Oleh sebab tidak terkira ramainya orang berkerumun, mereka pijak-memijak sesama sendiri. Isa pun berkata, terutamanya kepada pengikut-pengikut-Nya, ‘Jagalah dirimu daripada ragi orang Farisi, iaitu sifat munafik.
2 Tiada sesuatu pun yang tersembunyi yang tidak akan dinyatakan, dan tiada sesuatu rahsia pun yang tidak akan didedahkan.
3 Apa sahaja yang kamu katakan secara rahsia akan didengar secara terang-terang, dan apa sahaja yang kamu bisikkan di dalam bilik tertutup akan diumumkan.
Takut akan Allah
4 ‘Aku berkata kepadamu, hai sahabat-sahabat-Ku, janganlah kamu takut akan orang yang dapat membunuh tubuh sahaja dan kemudian tidak berkuasa lagi terhadapmu.
5 Aku menyatakan siapa yang harus kamu takuti: Takutlah akan Dia yang setelah mengambil nyawamu, berkuasa pula membuangmu ke dalam neraka. Aku berkata kepadamu supaya takut akan Dia!
6 Bukankah lima ekor burung pipit dijual orang dengan harga dua syiling sahaja? Namun tiada seekor pun dilupakan oleh Allah.
7 Malahan segala rambut di kepalamu telah dihitung. Janganlah kamu takut; kamu lebih bernilai daripada banyak burung pipit itu.
8 ‘Aku berkata kepadamu bahawa tiap-tiap orang yang mengakui Aku di hadapan manusia akan diakui oleh Putera Insan di hadapan malaikat-malaikat Allah.
9 Sesiapa yang tidak mengakui Aku di hadapan manusia tidak akan diakui oleh Putera Insan di hadapan malaikat-malaikat Allah.
10 Sesiapa yang mengeluarkan kata-kata menentang Putera Insan akan diampuni. Tetapi sesiapa yang mengkufuri Roh Suci tidak akan diampuni.
11 ‘Apabila orang membawa kamu untuk didakwa di majlis saumaah atau di hadapan gabenor atau pihak berkuasa, janganlah kamu khuatir bagaimana kamu harus membela diri atau apa yang harus kamu katakan,
12 kerana pada waktu itu Roh Suci akan mengajar kamu apa yang harus kamu katakan.’
Ibarat orang kaya yang bodoh
13 Seorang daripada orang ramai itu berkata, ‘Tuan Guru, suruh abang aku membahagikan warisan denganku.’
14 Isa menjawab, ‘Saudara, siapakah yang menjadikan Aku hakim atau pembahagi warisan kepada kamu?’
15 Isa terus menambah, ‘Ingatlah baik-baik supaya menjaga diri daripada segala ketamakan kerana kehidupan manusia tidak bergantung pada harta kekayaan yang dimiliki.’
16 Lalu Dia pun menceritakan kepada mereka satu ibarat: ‘Seorang kaya mempunyai tanah yang mengeluarkan hasil yang banyak.
17 Dia berfikir dalam hatinya, “Apakah harus aku buat? Tiada lagi tempat untuk menyimpan hasil tanahku.”
18 ‘Dia berkata, “Baiklah aku berbuat begini. Aku akan meruntuhkan gudang-gudangku dan membina yang lebih besar. Di situlah aku akan menyimpan segala hasil dan harta bendaku.
19 Aku akan berkata kepada diriku, engkau mempunyai harta yang banyak untuk keperluanmu selama bertahun-tahun. Nikmatilah hidup. Makan minum dan bersuka rialah.”
20 ‘Tetapi Allah berfirman kepadanya, “Engkau bodoh! Pada malam ini juga, nyawamu akan dituntut kembali daripadamu. Lalu harta benda yang telah kaukumpulkan itu akan menjadi hak siapa?”
21 ‘Demikianlah halnya orang yang menyimpan harta benda untuk dirinya tetapi tidak kaya pada pandangan Allah.’
Kepercayaan kepada Allah
22 Isa berkata kepada pengikut-pengikut-Nya: ‘Sebab itulah Aku berkata kepadamu supaya jangan khuatir tentang makanan untuk hidupmu dan pakaian untuk tubuhmu.
23 Hidupmu tidak hanya bergantung pada makanan, dan tubuhmu tidak hanya bergantung pada pakaian.
24 Perhatikanlah burung gagak yang tidak menabur atau menuai, tidak mempunyai gudang atau rengkiang, tetapi Allah memberikan makanan kepadanya. Kamu lebih bernilai daripada burung-burung itu!
25 Dapatkah sesiapa antaramu memanjangkan umur sedikit pun dengan menaruh khuatir?
26 Jikalau kamu tidak dapat membuat perkara yang sekecil ini, mengapakah kamu khuatir tentang hal-hal yang lain?
27 ‘Perhatikanlah bunga bakung. Bunga ini tidak menenun. Tetapi Aku berkata kepadamu bahawa Sulaiman dengan segala kemuliaannya pun tidak berpakaian seindah bunga-bunga ini.
28 Jikalau Allah menghiasi sedemikian rumput yang hari ini ada di padang tetapi esoknya dibakar, bukankah Dia apatah lagi akan memberikan pakaian kepada kamu! Alangkah lemahnya imanmu!
29 Jadi, janganlah kamu utamakan makanan dan minuman serta janganlah bimbang hati.
30 Orang yang tidak mengenal Allah mengutamakan perkara-perkara ini, tetapi Bapamu mengetahui kamu memerlukan semua ini.
31 Sebaliknya, utamakanlah kerajaan Allah dan segala perkara ini akan diberikan-Nya kepadamu.
32 ‘Janganlah takut, hai golongan kecil sahabat Aku, kerana Bapamu berkenan hendak memberikan kerajaan-Nya kepadamu.
33 Juallah hartamu dan berikanlah wang itu kepada orang miskin. Sediakanlah bagi dirimu dompet yang tidak akan usang dan simpanlah kekayaanmu di syurga yang tidak dapat dimasuki oleh pencuri atau dirosakkan oleh gegat.
34 Kerana di mana hartamu terkumpul, di situlah hatimu tertumpu.
Hamba yang berjaga-jaga
35 ‘Kamu hendaklah bersiap sedia dengan pelitamu terpasang.
36 Kamu hendaklah seperti orang yang menantikan kepulangan tuan mereka dari jamuan perkahwinan. Apabila tuan mereka pulang dan mengetuk pintu, mereka akan membuka pintu itu dengan serta-merta.
37 Diberkatilah hamba-hamba yang didapati berjaga-jaga oleh tuan mereka ketika dia pulang. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu bahawa tuan itu akan menyuruh mereka bertelekan di meja dan dia sendiri akan melayani mereka.
38 Diberkatilah hamba-hamba itu jikalau tuan itu pulang baik pada tengah malam ataupun sebelum fajar menyingsing dan mendapati mereka bersiap sedia.
39 Tetapi ketahuilah kamu bahawa sekiranya tuan rumah mengetahui masa pencuri akan datang, dia tidak akan membiarkan rumahnya dipecah masuk.
40 Oleh itu, kamu hendaklah bersedia kerana Putera Insan akan datang pada suatu masa yang tidak kamu sangka.’
Hamba yang setia dan hamba yang derhaka
41 Petrus bertanya, ‘Junjungan, adakah Engkau beritahu ibarat ini kepada kami atau kepada semua orang?’
42 Junjungan menjawab, ‘Siapakah hamba yang setia dan bijak? Dialah yang dipertanggungjawabkan oleh tuannya untuk mengurus rumahtangganya dan memberikan makanan kepada hamba-hamba yang lain pada waktunya.
43 Diberkatilah hamba yang didapati oleh tuannya sedang berbuat demikian apabila tuannya pulang.
44 Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu bahawa tuan itu akan mempertanggungjawabkan hamba tersebut sebagai pengurus segala hartanya.
45 Tetapi jikalau hamba itu berfikir dalam hatinya, “Tuan aku pulang lewat,” lalu dia mula memukul hamba-hamba yang lain baik lelaki ataupun perempuan dan makan minum sehingga mabuk,
46 maka tuannya akan pulang pada hari yang tidak disangka-sangkanya serta pada waktu yang tidak diketahuinya. Tuan itu akan membuangnya dan menempatkannya bersama orang yang tidak percaya.
47 ‘Seorang hamba yang mengetahui kehendak tuannya tetapi tidak bersedia serta tidak melakukannya, akan disebat dengan teruk.
48 Tetapi hamba yang tidak mengetahui kehendak tuannya, sekalipun melakukan perkara yang patut dihukum sebat, akan dihukum dengan ringan sahaja. Kerana sesiapa yang diberikan banyak, banyak pula akan dituntut daripadanya. Semakin banyak yang diamanahkan kepada seseorang, semakin banyak pula yang akan dituntut daripadanya.
Isa menyebabkan perpecahan
49 ‘Aku datang untuk melontarkan api ke bumi dan betapa inginnya Aku api itu telah menyala!
50 Aku harus mengalami suatu pengimadan dan betapa resahnya hati-Ku selagi perkara itu belum selesai.
51 Adakah pada sangkaanmu, Aku datang untuk membawa kedamaian di dunia? Aku berkata kepadamu, bukan kedamaian melainkan perpecahan!
52 Mulai sekarang, lima orang dalam sebuah keluarga akan berpecah, tiga melawan dua dan dua melawan tiga.
53 Bapa melawan anak lelakinya dan anak lelaki melawan bapanya, ibu melawan anak perempuannya dan anak perempuan melawan ibunya, ibu mertua melawan menantu perempuannya serta menantu perempuan melawan ibu mertuanya.’
Memahami alamat zaman ini
54 Isa berkata kepada orang ramai itu, ‘Apabila kamu melihat awan naik dari barat, kamu akan berkata, “Hari mahu hujan,” dan begitulah berlakunya.
55 Apabila kamu melihat adanya angin selatan bertiup, kamu berkata, “Hari akan panas terik,” dan begitulah berlakunya.
56 Hai munafik! Kamu tahu mentafsir cuaca dengan melihat alamat di langit dan bumi, tetapi mengapakah kamu tidak memahami alamat-alamat zaman ini?
Berdamailah dengan musuh
57 ‘Mengapakah kamu sendiri tidak dapat menentukan apa yang benar?
58 Apabila engkau berjalan menuju ke mahkamah bersama orang yang mendakwamu, berusahalah untuk menyelesaikan perkara itu dalam perjalanan agar dia tidak mengheretmu ke hadapan hakim dan hakim akan menyerahkanmu kepada pegawai polis yang akan memasukkanmu ke dalam penjara.
59 Aku berkata kepadamu bahawa engkau tidak dapat keluar dari situ sehingga engkau membayar seluruh dendamu.’