22
Komplot menentang Isa
1 Perayaan Roti Tidak Beragi, iaitu perayaan Paska telah menjelang.
2 Ketua-ketua imam dan guru-guru Taurat sedang mencari jalan untuk membunuh Isa secara diam-diam kerana mereka takut akan orang ramai itu.
3 Kemudian, Iblis memasuki Yudas Iskariot, salah seorang daripada dua belas pengikut Isa.
4 Lalu Yudas pergi kepada ketua-ketua imam dan pengawal rumah ibadat untuk membincangkan bagaimana dia dapat menyerahkan Isa kepada mereka.
5 Mereka gembira lalu berjanji memberikan wang kepadanya.
6 Yudas pun bersetuju lalu dia mencari peluang yang baik untuk menyerahkan Isa kepada mereka tanpa diketahui orang ramai.
Isa bersedia untuk makan jamuan Paska
7 Tibalah Perayaan Roti Tidak Beragi. Pada hari itu domba korban harus disembelih untuk jamuan Paska.
8 Isa menyuruh Petrus dan Yahya, ‘Pergilah sediakan jamuan Paska untuk kita.’
9 Mereka bertanya kepada Isa, ‘Di manakah Engkau hendak kami sediakan jamuan itu?’
10 Isa menjawab, ‘Setibanya kamu ke dalam kota itu, seorang lelaki yang menjunjung sebuah buyung air akan bertemu dengan kamu. Ikutlah dia ke rumah yang dimasukinya
11 lalu berkatalah kepada tuan rumah itu, “Guru menyuruh kami bertanya: Di manakah bilik tempat Aku hendak makan jamuan Paska bersama pengikut-pengikut-Ku?”
12 Tuan rumah itu akan menunjukkan kepadamu sebuah bilik besar yang lengkap dengan perabot di tingkat atas. Di situlah kamu sediakan jamuan Paska.’
13 Mereka pergi ke kota dan mendapati semua seperti yang telah dikatakan oleh Isa, lalu mereka menyediakan jamuan Paska.
Perjamuan Tuhan
14 Apabila tiba masanya, Isa pun duduk bersama pengikut-pengikut yang dua belas itu.
15 Lalu Isa berkata kepada mereka, ‘Sebenarnya, Aku telah lama ingin sekali makan jamuan Paska ini bersama kamu sebelum Aku menderita.
16 Aku berkata kepadamu bahawa Aku tidak akan makan jamuan ini lagi sehingga maksud sebenar Paska dinyatakan di dalam kerajaan Allah.’
17 Setelah itu, Isa mengambil sebiji cawan minuman. Dia mengucap syukur lalu berkata, ‘Ambillah cawan ini dan bahagikan minumannya antara kamu.
18 Aku berkata kepadamu bahawa mulai sekarang, Aku tidak akan minum air buah anggur lagi sehingga kerajaan Allah datang.’
19 Lalu Isa mengambil roti kemudian mengucap syukur kepada Allah. Setelah itu Dia memecah-mecahkan roti itu lalu memberikannya kepada pengikut-pengikut-Nya, sambil berkata, ‘Inilah tubuh-Ku yang diberikan untukmu. Berbuatlah sedemikian demi mengingati-Ku.’
20 Begitu juga setelah makan, Dia mengambil cawan minuman dan berkata, ‘Cawan ini ialah perjanjian baru yang dimateraikan dengan darah-Ku yang dicurahkan untukmu.
21 Tengoklah! Orang yang mengkhianati Aku ada bersama-sama di meja ini.
22 Putera Insan akan mati seperti yang ditetapkan, tetapi malangnya orang yang mengkhianati-Nya!’
23 Mereka mula bertanya-tanya sesama sendiri siapakah di antara mereka yang akan berbuat demikian.
Perselisihan tentang kebesaran
24 Satu perselisihan timbul di kalangan pengikut itu tentang siapa antara mereka yang dianggap terbesar.
25 Isa berkata kepada mereka, ‘Di dunia raja-raja berkuasa atas rakyat mereka, dan golongan pemerintah digelar pembawa kebajikan kepada rakyat.
26 Tetapi kamu tidak sama seperti mereka. Orang yang terbesar antara kamu hendaklah menjadi seperti yang terkecil, dan ketua harus menjadi seperti hamba.
27 Siapakah yang lebih besar – orang yang duduk makan atau hamba yang melayan? Bukankah orang yang duduk makan itu? Tetapi Aku ini antara kamu sebagai yang melayan.
28 Kamu bersama Aku dalam segala penderitaan-Ku.
29 Aku memberikan hak kepadamu untuk memerintah sebagaimana Bapa-Ku telah memberikan hak itu kepada-Ku.
30 Kamu akan makan dan minum di meja-Ku dalam kerajaan-Ku dan kamu akan duduk di atas takhta untuk menghakimi dua belas suku Israel.
Ramalan Isa tentang penyangkalan Petrus
31 ‘Simon, Simon, dengarlah! Iblis telah meminta izin untuk menguji kamu semua seperti petani memisahkan gandum daripada sekam.
32 Tetapi Aku telah berdoa untukmu supaya imanmu tidak goyah. Apabila kamu kembali kepada-Ku, kuatkanlah saudara-saudaramu.’
33 Petrus berkata kepada Isa, ‘Junjungan, hamba sedia ke penjara dengan-Mu dan mati bersama-sama.’
34 Isa menjawab, ‘Aku berkata kepadamu, Petrus, ayam tidak akan berkokok pada hari ini sehingga kamu berkata bahawa kamu tidak mengenal-Ku sebanyak tiga kali.’
Dompet, beg dan pedang
35 Isa berkata kepada mereka, ‘Ketika Aku mengutus kamu keluar tanpa dompet atau beg atau kasut, adakah kamu kekurangan apa-apa?’
Mereka menjawab, ‘Satu pun tidak.’
36 Isa berkata lagi, ‘Tetapi sekarang, orang yang mempunyai dompet atau beg hendaklah membawa barang-barang tersebut. Orang yang tidak berpedang hendaklah menjual bajunya untuk membeli sebilah.
37 Aku berkata kepadamu bahawa apa yang tersurat ini akan berlaku pada diri-Ku: “Dia tergolong bersama dengan penjahat.” Ini kerana apa yang tersurat tentang Aku akan berlaku.’
38 Pengikut-pengikut itu berkata, ‘Tengoklah Junjungan, di sini ada dua bilah pedang!’
Isa berkata, ‘Cukuplah!’
Isa berdoa
39 Isa meninggalkan tempat itu lalu pergi ke Bukit Zaitun seperti kebiasaan-Nya. Pengikut-pengikut-Nya pergi bersama Dia.
40 Sesampainya ke tempat itu, Dia berkata kepada mereka, ‘Berdoalah kamu supaya kamu tidak tergoda.’
41 Isa pergi jauh sedikit daripada mereka, iaitu sepelempar batu jauhnya lalu berlutut untuk berdoa.
42 ‘Ya Bapa, jikalau berkenan kepada-Mu, jauhkanlah kiranya cawan penderitaan ini daripada-Ku. Tetapi bukannya kehendak-Ku melainkan kehendak-Mu yang dilaksanakan.’
43 Malaikat dari syurga datang dan menguatkan-Nya.
44 Dalam kesengsaraan Dia berdoa, peluh-Nya seperti darah menitik ke tanah.
45 Isa bangun daripada berdoa, dan balik kepada pengikut-pengikut-Nya. Didapati-Nya mereka tertidur kerana sangat sedih.
46 Dia berkata kepada mereka, ‘Mengapakah kamu tidur? Bangunlah dan berdoa supaya kamu tidak tergoda.’
Isa ditangkap
47 Ketika Isa masih berkata-kata, sekumpulan orang datang. Yudas, salah seorang daripada dua belas pengikut-Nya memimpin mereka. Dia menghampiri Isa untuk mencium-Nya.
48 Isa berkata kepadanya, ‘Yudas, adakah dengan ciuman engkau mengkhianati Putera Insan?’
49 Apabila pengikut-pengikut Isa melihat apa yang akan terjadi, mereka bertanya kepada Isa, ‘Junjungan, haruskah kami serang mereka dengan pedang kami?’
50 Salah seorang daripada mereka menyerang hamba imam agung dan memutuskan telinga kanannya.
51 Tetapi Isa berkata, ‘Biarkanlah mereka.’ Lalu Isa menyentuh telinga orang itu dan menyembuhkannya.
52 Kemudian Isa berkata kepada ketua-ketua imam, ketua-ketua pengawal rumah ibadat dan tua-tua yang telah datang untuk menangkap-Nya, ‘Perlukah kamu datang dengan pedang dan belantan untuk menangkap Aku seolah-olah Aku ini seorang penyamun?
53 Semasa Aku bersama kamu setiap hari di dalam rumah ibadat, kamu tidak berani pula menangkap Aku. Tetapi inilah masa kamu dan masa kuasa kegelapan.’
Petrus menyangkal Isa
54 Setelah menangkap Isa, mereka membawa Dia ke rumah imam agung. Petrus pun mengikut dari jauh.
55 Mereka memasang api unggun di tengah-tengah halaman rumah itu lalu duduk di sekeliling. Petrus juga duduk antara mereka.
56 Apabila seorang hamba perempuan melihat Petrus duduk berdekatan dengan api unggun, dia memandang kepadanya dan berkata, ‘Orang ini juga bersama Dia.’
57 Tetapi Petrus menyangkal katanya, ‘Perempuan, aku tidak mengenal Dia!’
58 Sejurus selepas itu, seorang lain pula melihat Petrus lalu berkata, ‘Ya, engkau salah seorang daripada mereka itu.’
Tetapi Petrus menjawab, ‘Bukan, aku bukan!’
59 Kira-kira sejam kemudian, seorang lain pula berkeras mengatakan, ‘Tentulah orang ini juga bersama Dia kerana dia juga seorang Galilea.’
60 Tetapi Petrus berkata, ‘Aku tidak memahami apa yang kaukatakan.’ Pada ketika itu juga, sedang Petrus berkata-kata, ayam berkokok.
61 Junjungan berpaling dan memandang kepada Petrus lalu Petrus pun teringat akan apa yang dikatakan Junjungan kepadanya bahawa, ‘Sebelum ayam berkokok pada hari ini, engkau akan menyangkal Aku sebanyak tiga kali.’
62 Petrus pun keluar lalu menangis dengan sangat kesalnya.
Isa diejek dan dipukul
63 Orang yang mengawal Isa mengejek-ngejek dan memukul Dia.
64 Mereka menutupi mata Isa dan bertanya, ‘Siapakah yang memukul Engkau? Buatlah nubuat!’
65 Mereka mengatakan banyak lagi perkara yang menghina kepada-Nya.
Isa di hadapan Majlis Agama
66 Pada pagi hari, tua-tua masyarakat, ketua-ketua imam dan guru-guru Taurat bermesyuarat, dan Isa dibawa ke hadapan Majlis Agama. Mereka berkata,
67 ‘Jikalau Engkau al-Masih, katakanlah kepada kami.’
Isa berkata kepada mereka, ‘Jikalau Aku mengatakan kepadamu, kamu tidak percaya juga.
68 Dan jikalau Aku bertanya kepadamu, kamu juga tidak menjawab.
69 Tetapi mulai sekarang, Putera Insan akan duduk di sebelah kanan Allah Yang Maha Kuasa.’
70 Mereka semua bertanya, ‘Kalau begitu, Engkaulah Putera Allah?’
Isa berkata kepada mereka, ‘Benarlah katamu.’
71 Mereka berkata, ‘Apa perlunya saksi lagi? Kita sendiri telah mendengar apa yang dikatakan-Nya!’