7
Isa menyembuhkan hamba ketua tentera Rom
1 Setelah Isa habis mengatakan semua perkara ini kepada orang ramai, Dia pergi ke Kapernaum.
2 Terdapat seorang hamba ketua tentera yang amat disayangi oleh tuannya; hamba itu sedang sakit tenat dan hampir mati.
3 Apabila ketua tentera itu mendengar tentang Isa, dia menyuruh beberapa tua-tua Yahudi mendapatkan Isa untuk meminta-Nya datang menyembuhkan hambanya itu.
4 Ketika mendapatkan Isa, mereka memohon-Nya bersungguh-sungguh, ‘Tolonglah kabulkan permintaannya kerana dia patut ditolong.
5 Dia mengasihi bangsa kita dan dia telah mendirikan sebuah saumaah untuk kita.’
6 Lalu Isa pun pergi bersama mereka.
Tatkala Dia tidak berapa jauh dari rumah, ketua tentera itu menyuruh beberapa orang sahabat memberitahu Isa, ‘Tuan, tak usah Tuan menyusahkan diri ke rumah aku kerana aku tidak layak.
7 Aku juga tidak layak datang untuk menemui Tuan. Memadailah Tuan memberikan perintah sahaja dan hambaku itu akan sembuh.
8 Aku juga di bawah perintah orang atasan dan aku ada askar di bawah perintahku. Aku memerintah seseorang, “Pergilah!” dan dia akan pergi; aku memerintah seorang lagi, “Mari!” dan dia akan datang. Aku memerintah seorang hamba, “Buat kerja ini!” dan dia akan melakukannya.’
9 Isa kagum mendengar ini lalu Dia berpaling kepada orang ramai yang mengikut-Nya sambil berkata, ‘Aku berkata kepadamu bahawa antara bangsa Israel sekalipun belum pernah Aku jumpa orang yang beriman seteguh ini.’
10 Apabila mereka yang disuruh itu kembali ke rumah ketua tentera Rom itu, mereka mendapati hamba itu telah sembuh.
Isa menghidupkan anak lelaki seorang balu
11 Tidak lama kemudian, Isa pergi ke sebuah bandar yang bernama Nain; pengikut-pengikut-Nya dan orang ramai pergi bersama-Nya.
12 Ketika Dia mendekati pintu gerbang bandar itu, mayat anak lelaki tunggal seorang balu sedang diusung keluar dan sekumpulan besar orang dari bandar itu bersama dengan wanita itu.
13 Apabila Isa melihat balu itu, Dia berasa kasihan terhadapnya lalu berkata kepadanya, ‘Janganlah menangis.’
14 Dia berjalan ke hadapan dan menyentuh keranda itu. Orang yang mengusung keranda itu pun berhenti. Lalu Isa berkata, ‘Hai pemuda, Aku berkata kepadamu – bangun!’
15 Orang yang sudah mati itu pun bangun dan mula bercakap; lalu Isa mengembalikannya kepada ibunya.
16 Setiap orang ketakutan lalu memuji Allah: ‘Seorang nabi yang agung telah muncul di kalangan kita!’ dan ‘Allah telah mendatangi umat-Nya.’
17 Khabar tentang Isa ini tersebar ke seluruh jajahan Yudea dan daerah di sekelilingnya.
Pengikut-pengikut Yahya Pengimad
18 Pengikut-pengikut Yahya memaklumkan segala perkara ini kepada Yahya.
19 Yahya memanggil dua orang pengikutnya lalu menyuruh mereka pergi kepada Junjungan untuk bertanya, ‘Adakah Tuan yang dikatakan akan datang itu, atau haruskah kami menantikan seorang yang lain?’
20 Apabila mereka datang kepada Isa, mereka berkata, ‘Yahya yang mengimadkan itu menyuruh kami datang kepada Tuan untuk bertanya, “Adakah Tuan yang akan datang itu, atau haruskah kami menantikan seorang yang lain?” ’
21 Pada masa itu, Isa sedang menyembuhkan ramai orang yang menderitai penyakit dan kerasukan roh iblis serta mencelikkan mata ramai orang buta.
22 Lalu Isa menjawab kepada mereka, ‘Pergilah dan maklumkan kepada Yahya apa yang telah kamu lihat dan dengar: orang buta dapat melihat, orang tempang dapat berjalan, orang kusta disembuhkan, orang tuli dapat mendengar, orang mati dihidupkan kembali serta perkhabaran yang baik diberitakan kepada orang miskin.
23 Diberkatilah orang yang tidak berpaling daripada Aku.’
24 Setelah utusan-utusan Yahya pulang, Isa mula berkata kepada orang ramai itu tentang Yahya, ‘Semasa kamu pergi berjumpa dengan Yahya di gurun, apakah yang hendak kamu lihat? Sebatang buluh yang digoyang oleh angin?
25 Kamu pergi untuk melihat apa? Seorang yang mengenakan pakaian bergaya? Sebenarnya, orang yang mengenakan pakaian bergaya dan hidup dalam kemewahan didapati di istana-istana raja.
26 Oleh itu, kamu pergi untuk melihat apa? Seorang nabi? Ya, dan Aku berkata kepadamu, kamu melihat lebih daripada seorang nabi.
27 Dialah yang dikatakan dalam Kitab Suci:
‘ “Aku akan menghantar utusan-Ku untuk mendahului-Mu,
dialah yang akan menyediakan
jalan bagi-Mu.”
28 Aku berkata kepadamu bahawa Yahya itu lebih besar daripada semua orang yang pernah dilahirkan. Akan tetapi, orang yang terkecil dalam kerajaan Allah lebih besar daripadanya.’
29 Orang ramai itu, termasuk pemungut-pemungut cukai, mendengar Isa. Mereka mengakui kebenaran Allah kerana mereka telah menerima pengimadan Yahya.
30 Tetapi orang Farisi dan guru-guru Taurat enggan menerima pengimadan Yahya, maka mereka menolak kehendak Allah untuk mereka.
31 ‘Dengan apakah dapat Aku umpamakan orang pada zaman ini? Bagaimanakah keadaan mereka?
32 Mereka umpama budak-budak yang duduk di pasar dan berseru-seru sesama sendiri:
‘ “Kami telah memainkan serunai untukmu,
tetapi kamu tidak mahu menari;
kami telah menyanyikan lagu-lagu sedih untukmu,
tetapi kamu tidak mahu menangis.”
33 Kerana Yahya Pengimad telah datang dengan berpuasa dan tidak minum air anggur, lalu kamu berkata, “Dia dirasuk roh iblis”
34 Putera Insan datang dengan makan dan minum lalu kamu berkata, “Tengoklah, orang gelojoh dan peminum, sahabat kepada pemungut-pemungut cukai dan orang berdosa.”
35 Tetapi kebijaksanaan dibuktikan benar oleh semua orang yang menerimanya.’
Isa di rumah Simon, seorang Farisi
36 Salah seorang Farisi menjemput Isa makan di rumahnya. Isa masuk ke rumah orang Farisi itu lalu bertelekan pada meja.
37 Di dalam kota itu ada seorang perempuan yang hidup dalam dosa. Setelah dia mendengar bahawa Isa sedang makan di rumah orang Farisi itu, dia membawa sebuah botol berisi minyak wangi.
38 Dia berdiri di belakang Isa dekat dengan kaki-Nya dan menangis lalu membasahi kaki Isa dengan air matanya. Dia mengeringkan kaki Isa dengan menggunakan rambutnya, mencium kaki-Nya lalu menuang minyak wangi itu pada kaki-Nya.
39 Apabila melihat perkara ini, orang Farisi yang menjemput Isa berkata-kata dalam hatinya, ‘Jika orang ini seorang nabi, tentulah dia mengetahui perempuan yang menyentuh-Nya seorang yang hidup berdosa.’
40 Isa menjawabnya, ‘Simon, ada sesuatu yang hendak Aku katakan kepadamu.’
Simon berkata, ‘Ya Guru, katakanlah.’
41 ‘Ada dua orang berhutang kepada seorang pemiutang wang. Seorang berhutang lima ratus dinar dan seorang lagi lima puluh dinar.
42 Oleh sebab mereka tidak dapat membayar hutang itu, dia pun menghapuskan hutang kedua-dua penghutang wang itu. Antara mereka, yang manakah akan lebih mengasihinya?’
43 Simon menjawab, ‘Aku rasa orang yang dihapuskan hutangnya yang lebih besar itu.’
Isa berkata kepadanya, ‘Betullah jawapanmu.’
44 Lalu Isa berpaling kepada perempuan itu dan berkata kepada Simon, ‘Engkau melihat perempuan ini? Aku masuk ke rumahmu dan engkau tidak memberikan air membasuh kaki-Ku tetapi perempuan ini telah membasahi kaki-Ku dengan air matanya lalu mengeringkannya dengan rambutnya.
45 Engkau tidak menyambut Aku dengan ciuman, tetapi semenjak Aku masuk, perempuan ini tidak berhenti-henti mencium kaki-Ku.
46 Engkau tidak menuang minyak pada kepala-Ku, tetapi perempuan ini telah menuang minyak wangi pada kaki-Ku.
47 Oleh sebab itu, Aku berkata kepadamu bahawa kerana kasihnya yang besar, dosanya yang banyak itu telah diampunkan, tetapi orang yang telah diampuni sedikit sahaja, mengasihi sedikit juga.’
48 Isa berkata kepada perempuan itu, ‘Dosa-dosamu telah diampunkan.’
49 Mereka yang makan bersama Isa berkata sesama sendiri, ‘Siapakah orang ini yang mengampunkan dosa pula?’
50 Isa berkata kepada perempuan itu, ‘Imanmu telah menyelamatkanmu. Pergilah dengan sejahtera.’