9
Orang lumpuh disembuhkan
1 Isa menaiki sebuah perahu lalu ke seberang, dan sampai di bandar tempat Dia tinggal.
2 Beberapa orang membawa kepada-Nya seorang lumpuh yang terbaring di atas tikar. Ketika Isa menyedari betapa teguhnya iman mereka, Dia berkata kepada orang lumpuh itu, ‘Tegapkan hatimu, anak-Ku! Dosamu telah diampunkan.’
3 Sebilangan guru Taurat di situ berfikir dalam hati, ‘Orang ini mengkufuri Allah!’
4 Isa tahu apa yang difikirkan oleh mereka itu lalu Dia berkata, ‘Mengapa kamu fikirkan perkara sejahat itu?
5 Manakah yang lebih mudah dikatakan, “Dosamu telah diampunkan,” atau “Bangun dan berjalan?”
6 Aku akan membuktikan kepadamu bahawa di bumi ini Putera Insan berkuasa mengampunkan dosa.’ Kemudian Isa berkata kepada orang lumpuh itu, ‘Bangun, angkat tikarmu dan pulanglah.’
7 Orang lumpuh itu pun bangun lalu pulang ke rumahnya.
8 Melihat kejadian itu, orang di situ ketakutan dan memuji Allah yang memberikan kuasa yang sedemikian besarnya kepada manusia.
Matius dipanggil mengikut Isa
9 Isa meninggalkan tempat itu. Dalam perjalanan Dia melihat seorang pemungut cukai bernama Matius sedang duduk di tempat memungut cukai. Isa berkata, ‘Ikutlah Aku’. Lalu Matius berdiri dan mengikut-Nya.
10 Ketika Isa sedang makan di rumah Matius, ramai pemungut cukai dan orang berdosa makan bersama Isa dan para pengikut-Nya.
11 Beberapa orang Farisi yang melihat perkara itu bertanya kepada para pengikut Isa, ‘Mengapa gurumu makan bersama pemungut cukai dan orang yang berdosa?’
12 Isa terdengar pertanyaan mereka lalu menjawab, ‘Orang sihat tidak memerlukan tabib; hanya orang sakit yang memerlukannya.
13 Kajilah erti ayat ini: “Aku menghendaki belas kasihan, bukan binatang korban.” Itulah maka Aku datang bukan untuk memanggil orang benar tetapi orang berdosa.’
Perkara tentang puasa
14 Selepas itu para pengikut Yahya Pengimad mendapatkan Isa lalu bertanya, ‘Mengapakah kami dan orang Farisi sering berpuasa tetapi para pengikut-Mu tidak berpuasa?’
15 Isa menjawab, ‘Pada hematmu, patutkah tetamu di jamuan perkahwinan bersedih semasa pengantin lelaki masih bersama mereka? Tentu tidak. Namun akan tiba masanya pengantin lelaki itu diambil daripada mereka. Ketika itulah mereka akan berpuasa.
16 ‘Tiada siapa akan menampal pakaian lama dengan perca kain baru, kerana tampalan itu akan mengecut dan menyebabkan koyak yang lebih besar.
17 Begitu juga, tiada siapa akan menuangkan air anggur yang baru ke dalam bekas kulit yang lama, kerana bekas itu akan pecah dan air anggur itu akan terbuang. Air anggur yang baru patut dituangkan ke dalam bekas kulit yang baru juga supaya kedua-duanya selamat.’
Isa melakukan mukjizat
18 Sedang Isa berkata-kata dengan para pengikut Yahya Pengimad, seorang ketua saumaah bersujud di hadapan-Nya lalu berkata, ‘Anak perempuanku baru meninggal dunia. Datanglah, letakkan tangan-Mu di atasnya supaya dia hidup kembali.’
19 Isa pun bangun lalu pergi bersamanya, diiringi oleh para pengikut-Nya.
20 Ketika itu, ada seorang wanita yang telah mengidap penyakit pendarahan selama dua belas tahun. Dia mendekati Isa dari belakang lalu menyentuh hujung jubah-Nya.
21 Fikir wanita itu dalam hatinya, ‘Apabila kusentuh jubah-Nya, pasti aku akan sembuh.’
22 Isa menoleh dan melihatnya lalu berkata kepadanya, ‘Tetapkanlah hatimu, anak-Ku! Kerana imanmu kamu sembuh.’ Serta-merta wanita itu sembuh.
23 Apabila Isa sampai di rumah ketua itu, Dia nampak para pemain seruling dan semua orang di situ kelam-kabut.
24 Dia berkata, ‘Keluarlah kamu semua! Anak ini bukan mati, cuma tidur.’ Mereka mula mentertawakan-Nya.
25 Tetapi setelah mereka keluar, Isa masuk ke bilik anak perempuan itu dan memegang tangannya lalu anak itu bangun.
26 Khabar ini tersebar ke seluruh daerah itu.
Isa menyembuhkan orang buta
27 Ketika Isa meninggalkan tempat itu, dua orang buta mengikut-Nya sambil berseru, ‘Hai Anak Daud, kasihanilah kami!’
28 Ketika Isa masuk ke rumah, kedua-dua orang buta itu mendekati-Nya. Isa bertanya, ‘Percayakah kamu bahawa Aku dapat menyembuhkanmu?’
‘Percaya, Junjungan!’ jawab mereka.
29 Isa pun menyentuh mata mereka sambil berkata, ‘Kerana imanmu, terjadilah seperti apa yang kamu inginkan!’
30 Pada ketika itu juga mereka menjadi celik. Isa berpesan kepada mereka bersungguh-sungguh, ‘Jangan ceritakan hal ini kepada siapapun.’
31 Tetapi mereka pergi menyebarkan khabar tentang Isa ke seluruh daerah itu.
Isa menyembuhkan seorang bisu
32 Selepas itu, seorang yang bisu kerana dirasuk roh iblis dibawa kepada Isa.
33 Isa menghalau roh iblis itu dan serta-merta orang itu mula berkata-kata. Semua yang melihatnya tercengang lalu berkata, ‘Belum pernah kami lihat hal begini di Israel!’
34 Tetapi orang Farisi berkata, ‘Ketua roh iblis telah memberi Isa kuasa untuk menghalau roh-roh iblis.’
Belas kasihan Isa terhadap orang
35 Demikianlah Isa berjalan, dari bandar ke bandar, dari pekan ke pekan. Dia mengajar di saumaah dan menyampaikan berita baik tentang kerajaan Allah. Dia menyembuhkan orang daripada pelbagai penyakit.
36 Apabila melihat orang yang ramai itu, Isa berasa kasihan kerana mereka bimbang dan tidak berdaya, ibarat sekawan domba tanpa gembala.
37 Kata Isa kepada para pengikut-Nya, ‘Tuaian banyak sekali tetapi penuai hanya segelintir.
38 Berdoalah kepada Tuan punya tuaian itu supaya menghantar pekerja untuk menuai.’