3
Hari Tuhan
1 Saudara-saudara yang kukasihi, aku menulis surat yang kedua ini kepadamu. Aku menulis kedua-dua suratku untuk merangsang pemikiran murnimu untuk mengingatkanmu
2 supaya kamu ingat akan nubuat para nabi yang suci dan perintah Junjungan dan Penyelamat kita sebagaimana yang disampaikan oleh para rasulmu.
3 Pertama, kamu harus tahu bahawa para pencemuh akan muncul pada akhir zaman. Sambil berbuat sesuka hati memuaskan nafsu,
4 mereka akan berkata, ‘Manakah “kedatangan-Nya” yang dijanjikan itu? Nenek moyang kita sudah tiada, tetapi segala-galanya berterusan seperti sejak alam mula dicipta.’
5 Mereka sengaja melupakan bahawa dahulu Allah telah mencipta langit dan bumi dengan firman-Nya dan bumi dibentuk daripada air dan dengan air,
6 dan dengan air itu juga dunia yang wujud dahulu dimusnahkan dengan air bah.
7 Tetapi langit dan bumi yang sekarang dipelihara dengan firman itu juga akan dimusnahkan dengan api, menjelang harinya orang ingkar dihukum dan dibinasakan.
8 Tetapi, saudara-saudara yang kukasihi, jangan lupa satu perkara: Di sisi Tuhan satu hari serupa seribu tahun, dan seribu tahun serupa satu hari.
9 Tuhan bukannya lengah menepati janji, seperti sangkaan sesetengah orang, tetapi amat bersabar dengan kita, kerana Dia tidak mahu seorang pun binasa dan Dia ingin semuanya bertaubat.
10 Namun, hari Tuhan akan tiba seperti datangnya pencuri pada malam hari. Langit akan lenyap dengan bunyi gemuruh dan segala anasir akan lebur oleh kepanasan yang dahsyat, bumi serta segala yang wujud di dalamnya akan hangus terbakar.
11 Oleh sebab segala-galanya akan musnah, bagaimanakah sewajarnya kamu hidup? Kamu harus hidup suci dan taat akan Allah,
12 sementara menanti dan mempercepat menjelangnya hari penghakiman Allah. Pada hari itu langit akan musnah terbakar dan segala anasir lebur oleh kepanasan yang dahsyat.
13 Tetapi kita berpegang kepada apa yang telah dijanjikan-Nya, iaitu langit baru dan bumi baru yang dipenuhi dengan segala yang baik.
14 Oleh itu, saudara-saudara yang kukasihi, sementara menantikan semua itu, berusahalah untuk hidup suci dan tidak bercela di sisi Allah.
15 Anggaplah kesabaran Tuhan kita sebagai penyelamatan, sebagaimana saudara kita yang dikasihi, Paulus, telah mengatakan dalam suratnya untukmu, dengan kebijaksanaan yang telah dikurniakan kepadanya.
16 Paulus menulis tentang hal-hal demikian dalam semua suratnya. Sesetengahnya sukar difahami, lalu orang yang jahil dan tipis iman memesongkan ertinya ke arah kebinasaan diri mereka sendiri. Demikian juga dilakukan oleh mereka terhadap tulisan-tulisan lain dalam Kitab Suci.
17 Saudara-saudara yang kukasihi, oleh sebab kamu telah mengetahui hal ini, berjaga-jagalah, jangan tergelincir daripada pendirianmu yang teguh akibat disesatkan oleh kesilapan orang durjana.
18 Hendaklah kamu semakin kukuh dalam kasih kurnia Junjungan dan Penyelamat kita Isa al-Masih dan semakin mengenal-Nya. Bagi-Nya kemuliaan, sekarang dan selama-lamanya! Amin.