1 Timotius
1
1 Surat ini daripada Paulus, rasul Isa al-Masih, dengan perintah Allah Penyelamat kita dan Isa al-Masih, harapan kita,
2 Kepada Timotius, anak sejatiku dalam iman:
Semoga Allah Bapa dan Isa al-Masih Junjungan kita menganugerahimu kasih kurnia, belas kasihan dan kesejahteraan.
Peringatan terhadap guru sesat
3 Sebagaimana telah kutegaskan kepadamu ketika aku bertolak ke Makedonia, supaya kamu tinggal di Efesus untuk memerintahkan beberapa orang berhenti daripada menyebarkan ajaran sesat,
4 mendengar cerita dongeng dan salasilah yang panjang. Semua itu hanya menimbulkan pertengkaran dan tidak membawa ke jalan Allah yang berasaskan iman.
5 Tujuan perintah ini ialah kasih yang datang daripada hati yang suci, hati nurani yang bersih dan iman yang ikhlas.
6 Sesetengah mereka telah menyimpang daripadanya dan berpaling kepada perbincangan yang sia-sia.
7 Mereka hendak menjadi guru Hukum, tetapi mereka tidak memahami apa yang mereka katakan dan hal-hal yang mereka tegaskan dengan begitu yakin.
8 Tetapi kita tahu bahawa hukum adalah baik jika digunakan dengan betul.
9 Kita tahu bahawa hukum diadakan bukan untuk orang yang benar, tetapi untuk orang yang hidup berleluasa dan ingkar, untuk orang yang tidak taat akan Allah dan yang berbuat dosa, untuk orang yang tidak salih dan yang mengutamakan dunia, untuk pembunuh ibu bapa sendiri, serta untuk semua pembunuh.
10 Selain itu juga untuk penzina, untuk peliwat, untuk penculik, untuk pendusta, untuk saksi palsu, dan untuk orang yang melakukan apa sahaja yang bertentangan dengan ajaran benar yang
11 berasaskan Injil mulia Allah Yang Terpuji. Injil inilah yang diamanahkan kepadaku untuk disampaikan.
Kasih kurnia Allah terhadap Paulus
12 Aku bersyukur kepada Isa al-Masih, Junjungan kita, yang telah menguatkanku, kerana Dia menganggapku setia, lalu memberiku tugas itu,
13 walaupun dahulu aku seorang yang kufur, menganiaya dan ganas. Namun, aku dikasihani-Nya kerana aku telah melakukan semuanya itu ketika aku jahil dan tidak beriman.
14 Tuhan kita melimpahkan kasih kurnia-Nya kepadaku, dengan iman dan kasih dalam Isa al-Masih.
15 Pernyataan ini benar dan harus diterima sepenuhnya: Isa al-Masih datang ke dunia untuk menyelamatkan orang yang berdosa – akulah orang yang paling berdosa.
16 Namun demikian, justeru itulah aku dikasihani, supaya Isa al-Masih dapat menunjukkan kesabaran-Nya yang tidak terhingga, sebagai contoh kepada orang yang akan beriman kepada-Nya untuk hidup kekal.
17 Penghormatan dan kemuliaan selama-lamanya kepada Raja yang kekal, yang baqa, yang tidak dapat dilihat, Allah Yang Maha Esa. Amin.
18 Perintah ini kuamanahkan kepadamu, anakku Timotius, menurut apa yang telah dinubuatkan tentangmu, supaya dengan mematuhinya, kamu akan perjuangkan perjuangan mulia ini,
19 sambil berpegang kepada iman dan hati nurani yang bersih. Ada yang membelakanginya lalu memusnahkan iman mereka.
20 Antaranya ialah Himeneus dan Iskandar, yang kuserahkan kepada Iblis supaya mereka insaf daripada mengkufuri Allah.