5
Petunjuk dan nasihat
1 Jangan marahi orang yang lebih tua daripadamu, tetapi nasihati dia seolah-olah dia bapamu. Nasihati lelaki yang lebih muda daripadamu seperti saudara lelakimu,
2 perempuan yang lebih tua seperti ibumu, perempuan yang lebih muda seperti adik perempuanmu, dengan hati yang suci.
3 Hormati balu yang benar-benar hidup sebagai balu.
4 Tetapi jika seorang balu mempunyai anak cucu, mereka terlebih dahulu mengamalkan kesalihan di rumah dan membalas budi orang tua mereka, kerana ini baik dan diredai Allah.
5 Seorang balu yang benar-benar hidup sendirian tanpa tempat bergantung hanya berharap kepada Allah dan berdoa siang malam.
6 Sebaliknya, seorang balu yang hidup berpelesiran sudahpun mati walaupun masih hidup.
7 Suruhlah mereka taati segala ini supaya mereka tidak bercela.
8 Sekiranya seseorang tidak menjaga sanak saudaranya, apatah lagi seisi rumahnya sendiri, maka dia menyangkal iman dan lebih buruk daripada orang yang tidak beriman.
9 Jangan masukkan ke dalam golongan balu mereka yang berusia di bawah enam puluh tahun. Seseorang boleh digolongkan sebagai balu hanya jika dia bersuami cuma sekali,
10 dan terkenal berbuat baik, seperti mengasuh anak-anak, menumpangkan orang luar di rumahnya, melayani orang salih dengan hormat, membantu orang dalam kesusahan, serta sentiasa membuat kebajikan.
11 Jangan masukkan balu muda ke dalam golongan ini kerana apabila nafsu mengatasi tumpuan mereka kepada al-Masih, mereka hendak berkahwin lagi
12 dan dengan demikian dicela kerana mereka telah melanggar ikrar mereka yang pertama.
13 Tambahan pula mereka belajar membuang masa merayau dari rumah ke rumah. Bukan itu sahaja, mereka mengumpat dan menjaga tepi kain orang, mengatakan apa yang tidak patut disebutkan.
14 Oleh yang demikian aku mahu balu muda berkahwin lagi, mendapat anak dan mengurus rumah tangga, supaya musuh tidak dapat memburukkan nama kita;
15 kerana ada yang telah berpaling menurut Iblis.
16 Sekiranya seseorang perempuan yang beriman mempunyai ahli keluarga yang kematian suami, dia harus menjaga mereka dan tidak membebani jemaah dengan tanggungjawab itu. Dengan demikian jemaah dapat membantu balu yang tidak ada tempat untuk bergantung.
17 Tua-tua yang melaksanakan kewajipannya dengan sempurna layak menerima penghormatan tinggi, terutamanya yang giat menyampaikan firman dan ajaran.
18 Sebagaimana tersurat dalam Kitab Suci, ‘Jangan berangus mulut lembu yang sedang mengirik biji-bijian,’ dan ‘Orang yang bekerja layak menerima upah.’
19 Jangan percaya tuduhan terhadap seorang tua-tua jemaah melainkan diperkukuh oleh dua tiga orang saksi.
20 Apabila orang berbuat dosa, tegurlah mereka di hadapan jemaah supaya yang lain gentar melakukan perbuatan demikian.
21 Di hadapan Allah, Isa al-Masih dan malaikat-malaikat yang terpilih, aku mengarahkanmu mematuhi perintah-perintah ini tanpa prasangka atau pilih kasih.
22 Jangan terburu-buru meletakkan tangan ke atas seseorang dan jangan turut serta membuat dosa dengan orang. Jaga kesucianmu.
23 Jangan minum air sahaja, minumlah sedikit air anggur demi perutmu dan badanmu yang kerap sakit.
24 Dosa sesetengah orang ketara lalu dihakimi, manakala dosa sesetengahnya akan ternyata kemudian.
25 Demikian juga, sesetengah perbuatan baik terserlah di mata orang, namun yang tidak kelihatan pun tidaklah tersembunyi.