2
1 Anakku, kuatkan dirimu dengan kasih kurnia yang ada dalam Isa al-Masih.
2 Segala yang telah kaudengar daripadaku di hadapan saksi yang ramai, sampaikan kepada orang setia yang dapat mengajarkannya kepada orang lain pula.
3 Kamu mestilah ikut serta menanggung kesusahan sebagai seorang askar yang baik di bawah Isa al-Masih.
4 Seseorang yang memegang tugas dalam peperangan tidak akan melibatkan dirinya dengan hal ehwal kehidupan ini, supaya dia mendapat keredaan orang yang mengambilnya sebagai askar.
5 Demikian juga jika seseorang menyertai pertandingan olahraga, dia tidak akan mendapat mahkota kemenangan melainkan dia bertanding mengikut semua peraturan.
6 Petani yang telah bertungkus-lumus, pasti dialah yang pertama menikmati hasil tanaman.
7 Fikirkan kata-kataku kerana Tuhan akan mengurniaimu pengertian dalam semua perkara.
8 Ingatlah bahawa Isa al-Masih, keturunan Daud, telah dibangkitkan daripada kematian menurut Injil yang kusampaikan,
9 yang kerananya aku menderita seolah-olah aku seorang penjahat, sehingga dipenjarakan. Tetapi firman Allah tidak mungkin dipenjarakan.
10 Oleh itu aku menanggung segalanya untuk mereka yang terpilih, supaya mereka juga mendapat penyelamatan dalam Isa al-Masih dengan kemuliaan yang kekal.
11 Kata-kata ini benar:
Jika kita mati bersama-Nya,
kita juga akan hidup bersama-Nya;
12 jika kita tabah,
kita juga akan memerintah bersama-Nya.
Jika kita menyangkal-Nya,
Dia juga akan menyangkal kita;
13 jika kita tidak setia,
Dia tetap setia,
Dia tidak boleh menyangkal diri-Nya.
Pekerja yang diredai Allah
14 Ingatkan mereka tentang segala ini. Pesan kepada mereka di hadapan Allah supaya jangan bertengkar sia-sia tentang kata-kata, sehingga membinasakan orang yang mendengar.
15 Berusahalah supaya ternyata kamu diredai Allah, seorang pekerja yang tidak perlu berasa malu, yang menyebarkan kebenaran dengan sewajarnya.
16 Jauhi percakapan yang bercorak duniawi dan sia-sia, kerana ini akan menambah kemungkaran.
17 Kata-kata mereka akan merebak seperti penyakit barah, Himeneus dan Filetus termasuk orang begini.
18 Mereka telah sesat dalam hal kebenaran. Mereka berkata bahawa kebangkitan daripada kematian telah berlalu, dan mereka merosakkan iman sesetengah orang.
19 Namun demikian, asas kukuh Allah tetap bertapak, diteguhkan oleh: ‘Tuhan mengenal siapa milik-Nya,’ dan ‘Setiap orang yang menyebut nama Tuhan hendaklah meninggalkan kejahatan.’
20 Tetapi di dalam rumah yang besar bukan hanya ada bekas daripada emas dan perak tetapi juga daripada kayu dan tanah liat, sesetengahnya untuk kegunaan mulia dan sesetengahnya untuk kegunaan cemar.
21 Dengan demikian, jika seseorang membersihkan dirinya daripada kecemaran, dia akan menjadi bekas untuk kegunaan mulia, berguna kepada Tuannya, dan bersedia untuk melakukan kerja yang baik.
22 Singkirkan hawa nafsu muda. Berusaha mengamalkan kebenaran, iman, kasih dan kesejahteraan bersama mereka yang menyeru Tuhan dengan hati yang suci.
23 Jauhi perbahasan yang sia-sia dan jahil, sebab kamu tahu semua ini mencetuskan perkelahian.
24 Hamba Tuhan tidak harus berkelahi. Sebaliknya, mereka mestilah lemah lembut kepada semua orang, pandai mengajar, sabar, dan
25 dengan rendah hati menegur orang yang menentang, semoga Allah membukakan hati mereka untuk bertaubat supaya mereka mengenal kebenaran,
26 lalu mereka menjadi waras semula dan terlepas daripada cengkaman Iblis yang telah memerangkap mereka untuk melakukan kehendaknya.