Titus
1
1 Surat ini daripada Paulus, sebagai hamba Allah dan rasul Isa al-Masih demi iman semua orang pilihan Allah dan pengetahuan akan kebenaran yang menghasilkan kesalihan.
2 Iman dan pengetahuan itu berasaskan harapan untuk memperoleh hidup yang kekal. Allah tidak berdusta, Dia telah menjanjikan hidup ini sebelum permulaan zaman.
3 Pada masa yang telah ditentukan, Allah menyatakan janji itu melalui perkhabaran-Nya yang diamanahkan kepadaku. Aku menyebarkan perkhabaran ini dengan perintah Allah Penyelamat kita,
4 Kepada Titus, kamu seperti anakku sendiri dalam iman kita yang sama:
Semoga Allah Bapa dan Isa al-Masih Penyelamat kita menganugerahimu kasih kurnia dan sejahtera.
Tugas Titus di Kreta
5 Aku telah meninggalkanmu di Kreta supaya kamu dapat melaksanakan segala hal yang masih perlu diselesaikan serta melantik tua-tua di setiap kota seperti telah kuarahkan kepadamu.
6 Seorang tua-tua hendaklah tidak bercela, dan beristeri seorang sahaja, manakala anak-anaknya haruslah hidup beriman dan tidak dapat dituduh berkelakuan liar serta ingkar.
7 Ini perlu kerana seorang penyelia jemaah memegang tugas mengendalikan pekerjaan Allah. Oleh yang demikian, dia mestilah tidak bercela – tidak menindas orang lain, tidak pemarah, tidak pemabuk, tidak ganas, dan tidak rakus.
8 Dia haruslah bersifat mesra, mencintai kebaikan, pandai menguasai diri, tulus, suci dan berdisiplin.
9 Dia mesti berpegang teguh kepada perkhabaran yang layak dipercayai serta selaras dengan asas iman. Dengan demikian dapatlah dia menggalakkan orang menerima ajaran yang benar dan menunjukkan kesilapan mereka yang menentang ajaran itu.
10 Ini kerana adanya ramai pemberontak, orang yang bercakap kosong dan penipu, terutamanya orang yang dahulunya daripada mazhab persunatan.
11 Mulut mereka mesti ditutupkan kerana mereka telah memesongkan seisi keluarga orang dengan mengajar ajaran yang tidak patut – untuk mendapat keuntungan yang haram.
12 Seorang nabi mereka dari Kreta pernah berkata, ‘Orang Kreta pembohong. Mereka rakus dan malas laksana binatang buas.’
13 Kata-kata itu memang benar. Oleh itu tegurlah dengan tegas sesiapa yang menyebarkan ajaran palsu, supaya mereka tetap berpegang teguh kepada ajaran yang benar,
14 dan tidak terpengaruh dengan cerita karut orang Yahudi atau perintah-perintah yang dikenakan oleh orang yang menolak ajaran yang benar.
15 Bagi orang yang suci, segala-galanya suci. Sebaliknya bagi orang yang fikirannya dinodai dosa dan tidak percaya akan kebenaran, tiada suatu pun yang suci, kerana jiwa dan hati nuraninya sudah tercemar.
16 Mereka mendakwa mereka mengenal Allah, tetapi perbuatan mereka tidak membuktikan dakwaan ini. Mereka terkutuk, ingkar kepada Allah, dan tidak dapat melakukan sesuatu yang baik.