4
Hamba al-Masih
Kamu hendaklah memandang kami sebagai hamba al-Masih yang diamanahkan dengan rahsia-rahsia Allah. Setelah dipertanggungjawabkan dengan amanah, hamba demikian itu wajib membuktikan bahawa dia dapat dipercayai. Aku tidak peduli apa pandanganmu dan orang lain terhadapku; malah pandanganku terhadap diriku sendiri pun tidak penting. Aku tidak berasa bersalah, tetapi ini tidak bererti aku tidak bersalah. Hanya Tuhan yang berhak menentukan sama ada aku bersalah atau tidak. Oleh itu janganlah putuskan sama ada seseorang itu bersalah atau tidak sebelum sampai waktunya. Tunggulah hingga Junjungan datang kembali dan mendedahkan segala rahsia yang diselubungi kegelapan, segala niat yang terpendam di hati manusia. Ketika itulah setiap orang akan mendapat penilaian yang sewajarnya daripada Allah.
Saudara-saudaraku! Untuk kebaikanmu, segala ini telah kukerjakan dalam diriku dan Apolos supaya dengan mengikut teladan kami, kamu dapat mengerti kata-kata hikmat ini: ‘Janganlah melampaui apa yang telah tersurat’. Dengan demikian, kamu tidak memegahkan seseorang daripada yang lain. Siapakah yang menjadikan dirimu lebih baik daripada yang lain? Apakah yang ada padamu yang tidak kamu terima? Jadi, jika kamu memang menerimanya, mengapakah kamu bermegah, seolah-olah apa yang ada padamu itu bukan kurnia-Nya?
Ya, kamu tidak memerlukan apa-apa lagi! Kamu memang sudah kaya-raya! Tanpa kami pun kamu sudah menjadi raja! Namun, kamu tidak begitu. Alangkah baiknya jika kamu benar-benar raja. Dapatlah kami memerintah bersamamu. Pada pandanganku, Allah memberikan kedudukan paling rendah kepada kami para rasul; tak ubah seperti orang yang dijatuhi hukum mati di hadapan orang ramai, dijadikan tontonan para malaikat dan manusia. 10 Kerana al-Masih, kami menjadi orang yang bodoh; tetapi kerana al-Masih, kamu menjadi orang bijak. Kami lemah, namun kamu kuat! Kami dihina, sedangkan kamu dimuliakan! 11 Hingga saat ini kami lapar dan dahaga, berpakaian lusuh, didera, tiada tempat tinggal yang tetap. 12 Kami bertungkus-lumus menyara hidup. Kami membalas sumpah seranah dengan berkat restu, dan bersabar ketika dianiaya. 13 Kami membalas caci maki dengan kata-kata yang baik. Kami dianggap sampah masyarakat, sampah dunia hingga sekarang.
14 Aku menulis demikian kepadamu bukanlah untuk memalukanmu, tetapi untuk menasihatimu sebagai anak-anakku yang kusayangi. 15 Walaupun kamu mungkin mempunyai sepuluh ribu orang pengasuh dalam Isa al-Masih, bapamu tidaklah ramai. Ini kerana dalam al-Masih, aku seperti bapamu yang telah membawa Injil kepadamu. 16 Oleh itu aku menyeru kamu, ikutlah teladanku. 17 Bagi tujuan itu aku mengutus Timotius, anakku yang dikasihi dan setia dalam Tuhan. Dia akan mengingatkan kamu tentang jalan hidup yang kuikut sejak beriman kepada al-Masih, iaitu jalan hidup yang telah kuajarkan kepada jemaah di serata tempat.
18 Ada di antara kamu yang bersikap angkuh kerana menyangka aku tidak akan mengunjungimu. 19 Kiranya diizinkan Tuhan, aku akan mengunjungimu tidak lama lagi dan melihat bukan hanya apa yang dikatakan oleh orang yang angkuh itu tetapi apa kuasa mereka. 20 Kerana kerajaan Allah bukan sekadar kata-kata sahaja tetapi terdiri daripada kuasa. 21 Mana yang kamu pilih? Agar aku datang kepadamu dengan rotan, atau dengan kasih sayang dan lemah lembut?