2
Doa jemaah
Pertama-tama aku menyeru supaya permohonan, doa, syafaat dan kesyukuran dirafakkan untuk semua manusia – untuk raja-raja dan semua yang memegang kuasa, supaya kita hidup aman tenteram, salih dan penuh hormat. Inilah yang baik dan diredai oleh Allah Penyelamat kita yang berkehendakkan semua manusia diselamatkan dan mengetahui apa yang benar. Hanya ada satu Allah dan hanya ada satu pengantara di antara Allah dan manusia iaitu Isa al-Masih. Dia telah menyerahkan diri-Nya untuk menebus dosa seluruh umat manusia yang akan dipersaksikan pada masanya. Itulah sebabnya aku dijadikan pemberita Injil dan rasul – aku berkata benar, aku tidak berdusta – dan sebagai pengajar kepada bangsa asing dalam iman dan kebenaran.
Oleh itu aku menyeru kaum lelaki di mana-mana sahaja supaya berdoa serta menadahkan tangan yang suci, tanpa kemarahan atau perselisihan.
Aku juga menyeru kaum perempuan supaya berpakaian serta menghias diri dengan sopan santun dan sederhana. Jangan berhias dengan jalinan rambut yang berlebihan atau dengan emas ataupun mutiara mahupun pakaian yang mahal-mahal. 10 Hiasi diri dengan perbuatan baik, yang sepatutnya bagi perempuan yang mengaku taat akan Allah.
11 Perempuan hendaklah belajar dengan senyap dan rendah hati. 12 Aku tidak membenarkan perempuan mengajar atau memerintah lelaki; dia harus berdiam diri 13 kerana Adam telah dicipta dahulu, kemudian barulah Hawa. 14 Dan bukan Adam yang terpedaya, tetapi perempuan itu yang terpedaya, lalu melakukan dosa. 15 Walaupun demikian, perempuan akan diselamatkan dengan melahirkan anak jika mereka tetap dalam iman, kasih, dan kesucian dengan penguasaan diri.