6
Anak dan ibu bapa
Anak-anak, turutlah perintah ibu bapamu dalam Tuhan, kerana ini adalah wajar. ‘Hormatilah ibu bapamu’ – iaitu perintah pertama yang disertai dengan janji – ‘supaya kamu mendapat kebaikan dan umurmu panjang di bumi ini.’
Kamu, bapa, janganlah sakitkan hati anak-anak; tetapi peliharalah mereka dalam didikan dan nasihat Tuhan.
Hamba dan tuan
Hamba sahaya, taatlah kepada tuanmu di dunia ini, dengan takut dan hormat, dengan hati yang ikhlas, seperti kepada al-Masih. Janganlah lakukan secara bermuka-muka, sekadar menyukakan hati orang, tetapi sebagai hamba al-Masih, melakukan kehendak Allah setulus hati. Bekerjalah dengan niat bersih, seperti untuk Tuhan, bukan untuk manusia. Ketahuilah bahawa apa sahaja kebaikan yang dilakukan oleh seseorang akan dibalas sewajarnya oleh Tuhan, baik hamba mahupun orang merdeka.
Kamu, tuan kepada hamba, hendaklah juga berbuat baik kepada mereka, dan jangan lagi mengugut mereka, kerana kamu tahu bahawa Tuan mereka dan Tuanmu sendiri ada di syurga, dan Dia memandang semuanya sama rata.
Senjata Allah
10 Akhir kata, saudara-saudaraku, hendaklah kamu kuat dalam Tuhan dan dalam kekuatan kuasa-Nya. 11 Pakailah selengkap senjata Allah, supaya kamu dapat bertahan terhadap tipu daya iblis. 12 Ini kerana kita berlawan bukan dengan manusia tetapi dengan para penghulu dunia daripada kegelapan zaman ini, para pemerintah dan penguasanya, dan tentera roh iblis di langit. 13 Oleh itu pakailah selengkap senjata Allah, supaya kamu dapat bertahan pada masa yang penuh kejahatan, dan berdiri tegap setelah kamu melakukan segalanya. 14 Dengan demikian, berdirilah dengan tegap setelah mengikat pinggangmu dengan kebenaran, memakai keadilan sebagai perisai dada, 15 menyarungkan ke kakimu persediaan menyebarkan Injil perdamaian. 16 Paling utama, memakai perisai iman, untuk memadamkan segala anak panah berapi si durjana, 17 dan ketopong penyelamatan serta pedang Roh, iaitu firman Allah. 18 Sambil itu, pohonlah sentiasa dengan segala doa dan rayuan dalam Roh, serta berjaga-jaga dengan segala ketekunan dan permohonan untuk semua orang yang salih.
19 Berdoalah juga untukku, supaya aku dikurniai daya pengucapan dan aku membuka mulut dengan berani untuk memberitahu rahsia Injil, 20 sedangkan aku adalah utusan yang terpenjara, supaya dengannya aku dapat bertutur dengan berani, sebagaimana sepatutnya aku bertutur.
Salam penutup
21 Tetapi supaya kamu tahu hal ehwalku dan bagaimana keadaanku, maka Tikhikus, seorang saudara yang dikasihi dan hamba yang beriman kepada Tuhan, akan memberitahu segalanya kepadamu. 22 Aku menghantarnya kepadamu untuk tujuan ini, supaya kamu mengetahui hal ehwal kami dan dia dapat menetapkan hatimu.
23 Salam sejahtera kepada saudara-saudara kita, dan kasih dengan iman daripada Allah Bapa dan Junjungan Isa al-Masih. 24 Kasih kurnia Allah bagi semua yang mengasihi Junjungan kita Isa al-Masih dengan kasih yang kekal.