2
Perkahwinan di Kana
Pada hari yang ketiga, suatu majlis perkahwinan diadakan di kota Kana di negeri Galilea. Ibu Isa turut hadir. Isa dan pengikut-pengikut-Nya juga dijemput ke majlis itu. Apabila air anggur yang ada habis diminum, ibu Isa berkata kepada-Nya, ‘Mereka kehabisan air anggur.’
Isa menjawab, ‘Puan, usahlah suruh Aku. Saat-Ku belum tiba.’
Namun, ibu Isa berkata kepada pelayan-pelayan di majlis itu, ‘Buatlah apa saja yang disuruh-Nya.’
Di situ ada enam buah tempayan yang digunakan untuk istiadat penyucian orang Yahudi. Tiap-tiap tempayan dapat memuat kira-kira seratus liter air.
Isa berkata kepada pelayan-pelayan, ‘Isilah tempayan-tempayan ini dengan air.’ Mereka pun mengisi penuh keenam-enam tempayan itu.
Setelah itu Isa berkata pula, ‘Sekarang ambillah sedikit air itu, bawakan kepada ketua majlis.’ Mereka pun menghidangkan air itu kepada ketua majlis.
Setelah ketua majlis merasa air yang telah menjadi air anggur itu, dia pun memanggil pengantin lelaki. Dia tidak tahu dari mana datangnya air anggur itu, tetapi para pelayan yang mengambil dan membawa air itu mengetahuinya. 10 Dia berkata kepada pengantin lelaki, ‘Selalunya orang menghidangkan air anggur yang terbaik di awal majlis. Setelah tetamu banyak minum, dihidangkan pula air anggur yang biasa saja. Tetapi kamu menyimpan dulu air anggur yang terbaik, sekarang baru dihidangkan!’
11 Itulah mukjizat Isa yang pertama, dilakukan di Kana, Galilea. Dia menyatakan kemuliaan-Nya, maka para pengikut-Nya percaya kepada-Nya.
Isa menyucikan rumah ibadat
12 Setelah itu Isa bersama ibu-Nya, saudara-saudara-Nya dan pengikut-pengikut-Nya pergi ke Kapernaum lalu tinggal di situ beberapa hari.
13 Ketika perayaan Paska orang Yahudi hampir tiba, Isa pergi ke Baitulmaqdis. 14 Di dalam rumah ibadat Dia mendapati orang berjual-beli lembu, domba dan burung merpati, serta pengurup-pengurup wang duduk di situ. 15 Isa membuat cemeti daripada tali lalu mengusir kesemua orang, domba dan lembu dari rumah ibadat. Dia juga menghamburkan wang para pengurup wang itu dan menterbalikkan meja mereka. 16 Dia berkata kepada penjual burung merpati, ‘Bawa keluar semuanya. Jangan jadikan Rumah Bapa-Ku tempat berniaga!’
17 Para pengikut-Nya teringat bahawa telah tersurat: ‘Kasih-Ku terhadap Rumah-Mu membakar hati-Ku!’
18 Orang Yahudi menyoal Isa, ‘Apakah mukjizat yang dapat Kamu lakukan sebagai bukti bahawa Kamu berhak bertindak begini?’
19 Isa menjawab, ‘Robohkanlah rumah ibadat ini, akan Kubina semula dalam tiga hari.’
20 ‘Pembinaannya mengambil masa empat puluh enam tahun! Akan Kaubina semula dalam tiga hari?’ tanya mereka. 21 Sebenarnya, rumah ibadat yang dimaksudkan oleh Isa itu ialah tubuh-Nya sendiri. 22 Apabila Isa bangkit daripada kematian, para pengikut-Nya teringat kata-kata-Nya itu. Dengan demikian percayalah mereka akan Kitab Suci dan kata-kata Isa.
23 Sewaktu Isa di Baitulmaqdis pada masa perayaan Paska, ramai orang yang percaya kepada-Nya disebabkan mukjizat-mukjizat yang dilakukan-Nya. 24 Namun demikian, Isa tidaklah mempercayakan diri-Nya kepada mereka, kerana Dia mengetahui isi hati manusia. 25 Dia tidak memerlukan kesaksian sesiapa tentang manusia kerana Dia mengetahui niat dan perasaan setiap orang.