24
Kebangkitan Isa
Awal-awal lagi pada hari Ahad, perempuan-perempuan itu pun pergi ke makam dengan membawa rempah-rempah harum yang telah disediakan mereka. Mereka mendapati batu penutup makam itu telah digulingkan dari makam. Apabila mereka masuk ke dalam, jenazah Isa tiada lagi. Mereka berdiri di situ dan berasa kebingungan tentang perkara ini. Tiba-tiba ada dua orang yang berpakaian berkilau-kilauan, berdiri di sisi mereka. Perempuan-perempuan itu sangat takut lalu sujud. Kedua-dua orang itu berkata kepada mereka, ‘Mengapakah kamu mencari Dia yang hidup di antara orang mati? Dia tiada di sini. Dia sudah bangkit! Ingatlah apa yang telah dikatakan oleh-Nya kepadamu ketika Dia di Galilea: “Putera Insan harus diserahkan kepada orang berdosa. Dia akan disalib dan bangkit pada hari yang ketiga.” ’ Mereka pun teringatlah akan kata-kata Isa.
Sekembali mereka dari makam itu, mereka memberitahu segala perkara ini kepada sebelas orang rasul dan semua pengikut yang lain. 10 Mereka, iaitu Maryam orang Magdala, Yohanah, Maryam, ibu Yakobus dan perempuan-perempuan yang lain mengatakan segala perkara itu kepada rasul-rasul itu. 11 Tetapi mereka itu menganggap apa yang dikatakan oleh perempuan-perempuan itu sebagai karut lalu tidak mempercayai mereka. 12 Tetapi Petrus bangun dan berlari ke makam itu. Dia membongkok ke dalam lalu nampak kain kafan sahaja di situ. Dia pulang dengan hairan sambil memikirkan apa yang telah berlaku.
Perjalanan ke kampung Emaus
13 Pada hari itu juga dua orang antara pengikut Isa sedang dalam perjalanan ke sebuah kampung yang bernama Emaus, kira-kira tujuh batu jauhnya dari Baitulmaqdis. 14 Kedua-duanya berbual-bual tentang segala yang telah berlaku itu. 15 Ketika mereka berbual-bual dan berbincang, Isa sendiri menghampiri mereka lalu berjalan bersama-sama. 16 Mereka nampak Isa tetapi mereka tidak mengenali Dia.
17 Isa berkata kepada mereka, ‘Apakah perkara-perkara yang sedang kamu bincangkan dalam perjalanan kamu ini?’
Mereka pun berhenti di situ dengan berwajah murung.
18 Seorang daripadanya yang bernama Kleopas bertanya kepada Isa, ‘Engkaukah satu-satunya orang di Baitulmaqdis yang belum mengetahui peristiwa-peristiwa yang telah berlaku dalam beberapa hari ini?’
19 Isa berkata, ‘Apakah yang telah berlaku?’
Mereka menjawab, ‘Segala perkara yang berlaku kepada Isa, orang Nasaret. Dia seorang nabi. Di sisi Allah dan pada pandangan orang, Dia berkuasa dalam apa yang dikatakan dan dilakukan-Nya. 20 Ketua-ketua imam dan para pemimpin kita telah menyerahkan-Nya untuk dijatuhi hukuman mati lalu mereka menyalib-Nya. 21 Kami telah berharap bahawa Dialah yang akan membebaskan Israel. Tambahan lagi, hari ini ialah hari yang ketiga semenjak perkara-perkara itu telah berlaku. 22 Beberapa orang perempuan daripada golongan kami telah menakjubkan kami. Mereka telah siang-siang ke makam pada pagi tadi. 23 Akan tetapi, mereka tidak mendapati jenazah-Nya. Mereka pulang menceritakan bahawa mereka nampak malaikat-malaikat yang memberitahu mereka bahawa Dia hidup. 24 Beberapa orang daripada kumpulan kami telah pergi ke makam itu dan mendapati sebagaimana yang dikatakan oleh perempuan-perempuan itu, tetapi mereka tidak nampak Dia.’
25 Kemudian, Isa berkata kepada mereka, ‘Betapa bodohnya kamu! Betapa lambatnya kamu percaya akan segala kata nabi-nabi! 26 Bukankah al-Masih harus menderita sedemikian untuk mencapai kemuliaan-Nya?’ 27 Lalu Isa menerangkan kepada mereka apa yang tersurat tentang-Nya dalam semua kitab mulai dari kitab-kitab Musa sehingga semua kitab para nabi yang lain.
28 Apabila mereka menghampiri kampung yang dituju mereka itu, Isa kelihatan seolah-olah Dia hendak meneruskan perjalanan. 29 Tetapi kedua-dua orang itu menjemput-Nya dengan berkata, ‘Bermalamlah dengan kami kerana hari hampir senja dan mulai gelap.’ Dia pun masuk ke rumah dan bermalam dengan mereka.
30 Ketika Dia duduk untuk makan bersama mereka, Dia mengambil roti dan mengucap syukur. Dia membahagikan roti itu lalu memberikannya kepada mereka. 31 Pada ketika itu juga mata mereka dicelikkan dan mereka pun mengenali Dia. Lalu Dia lenyap daripada pandangan mereka. 32 Mereka berkata satu sama lain, ‘Bukankah hati kita meluap-luap ketika Dia berkata-kata kepada kita dalam perjalanan tadi dan semasa Dia menerangkan Kitab Suci kepada kita?’
33 Mereka terus bangun dan kembali ke Baitulmaqdis. Mereka mendapati sebelas pengikut itu berkumpul dengan pengikut yang lain. 34 Mereka berkata, ‘Sesungguhnya, Junjungan telah bangkit. Dia menampakkan diri-Nya kepada Simon!’ 35 Lalu kedua-dua orang itu menceritakan apa yang telah berlaku dalam perjalanan mereka dan bagaimana mereka telah mengenali Isa semasa Dia membahagikan roti.
Isa menunjukkan diri-Nya kepada para pengikut-Nya
36 Semasa mereka berkata-kata tentang segala perkara ini, Isa sendiri berdiri di tengah-tengah mereka dan berkata kepada mereka, ‘Sejahteralah kamu!’
37 Mereka terkejut dan berasa sangat takut kerana menyangka mereka melihat hantu. 38 Tetapi Isa berkata kepada mereka, ‘Apakah sebabnya kamu takut? Mengapakah hatimu ragu-ragu? 39 Tengoklah tangan dan kaki-Ku. Inilah Aku. Sentuhlah Aku dan tengok. Hantu tidak berdaging dan bertulang sebagaimana yang kamu lihat ada pada-Ku.’
40 Setelah Dia berkata demikian, Dia menunjukkan tangan dan kaki-Nya kepada mereka. 41 Mereka masih tidak dapat percaya kerana terlalu gembira dan takjub. Isa pun bertanya kepada mereka, ‘Adakah kamu mempunyai makanan di sini?’ 42 Mereka memberi Dia sepotong ikan yang telah dimasak, 43 lalu Dia mengambilnya dan makan di hadapan mereka semua.
44 Kemudian, Dia berkata kepada mereka, ‘Inilah perkara-perkara yang telah Aku katakan kepadamu semasa Aku masih bersamamu dahulu: Segala perkara yang tersurat tentang Aku dalam Taurat Musa, kitab-kitab nabi dan Kitab Zabur pasti akan berlaku.’
45 Lalu Dia membuka pintu pemahaman mereka supaya mereka mengerti maksud Kitab Suci. 46 Dia berkata lagi, ‘Demikianlah yang tersurat: Bahawa al-Masih harus menderita lalu bangkit semula daripada maut pada hari yang ketiga, 47 dan perkhabaran tentang pertaubatan dan pengampunan dosa akan diisytiharkan demi nama-Nya kepada semua bangsa, mulai di Baitulmaqdis. 48 Kamulah saksi segala perkara ini. 49 Dan Aku akan mengurniakan pemberian yang dijanjikan oleh Bapa-Ku kepadamu. Tetapi, tunggulah di kota ini sehingga kamu diperlengkapi dengan kuasa daripada Allah.’
Isa diangkat ke syurga
50 Kemudian Isa membawa pengikut-pengikut-Nya ke luar kota sehingga Baitani. Di situ Dia mengangkat tangan-Nya lalu memberkati mereka. 51 Ketika Dia memberkati mereka, Dia diangkat ke syurga lalu meninggalkan mereka. 52 Pengikut-pengikut-Nya menyembah-Nya dan kembali ke Baitulmaqdis dengan penuh kegembiraan. 53 Mereka menumpukan masa di rumah ibadat untuk memuji Allah.