2
Isa menyembuhkan seorang lumpuh
Beberapa hari kemudian, Isa pulang ke Kapernaum dan tersebarlah khabar itu. Ramailah orang datang berhimpun di rumah tempat Dia tinggal itu, sehingga penuh sesak sampai ke pintu. Isa pun menyampaikan firman kepada mereka. Datanglah empat orang mengusung seorang yang lumpuh. Oleh sebab kesasakan itu, mereka tidak dapat membawanya kepada Isa. Oleh itu mereka membuka bumbung rumah betul-betul di atas tempat Isa berada lalu menurunkan orang lumpuh yang terbaring di atas tikar. Melihat iman mereka yang begitu teguh, Isa berkata kepada orang lumpuh itu, ‘Anak-Ku, dosamu telah diampunkan.’
Guru-guru Taurat yang duduk di situ berkata dalam hati, ‘Lancangnya dia mengkufuri Allah! Tiada siapa boleh mengampunkan dosa kecuali Allah!’
Tetapi Isa segera mengetahui dalam roh-Nya bahawa mereka berfikir demikian lalu berkata, ‘Mengapa kamu berfikir begitu? Manakah yang lebih mudah dikatakan: “Dosamu telah diampunkan,” atau, “Bangun, angkat tikarmu dan berjalanlah”? 10 Tetapi supaya kamu tahu bahawa di bumi ini Putera Insan berkuasa mengampunkan dosa...’ Berkatalah Dia kepada orang lumpuh itu, 11 ‘Aku berkata kepadamu, bangun, angkat tikarmu, dan pulanglah.’ 12 Di hadapan mata mereka semua, orang lumpuh itu bangun, mengangkat tikarnya lalu segera berjalan ke luar. Semua orang di situ kehairanan lalu memuji Allah. Mereka berkata, ‘Belum pernah kami lihat kejadian begini!’
Panggilan Lewi
13 Isa pergi lagi ke pinggir laut. Ramai orang datang kepada-Nya lalu Dia mengajar mereka. 14 Ketika Isa berjalan di situ, Dia terpandang seorang pemungut cukai bernama Lewi anak Alfeus sedang duduk di tempat kerjanya. Isa berkata kepadanya, ‘Ikutlah Aku,’ lalu Lewi bangun mengikut-Nya.
15 Selepas itu Isa makan di rumah Lewi. Ramai pemungut cukai dan ‘orang berdosa’ mengikut Isa dan ramai antara mereka turut makan bersama Isa serta para pengikut-Nya. 16 Apabila hal ini dilihat oleh sebilangan guru Taurat daripada golongan Farisi, mereka bertanya kepada para pengikut Isa: ‘Mengapa dia makan bersama pemungut cukai dan “orang berdosa”?’
17 Isa mendengar pertanyaan itu lalu menjawab, ‘Orang sakitlah yang memerlukan tabib, bukannya orang sihat. Aku datang bukan untuk memanggil orang yang benar, tetapi orang berdosa.’
Berpuasa
18 Pada suatu masa ketika para pengikut Yahya Pengimad dan pengikut orang Farisi berpuasa, beberapa orang datang kepada Isa lalu bertanya, ‘Pengikut Yahya Pengimad dan pengikut orang Farisi sedang berpuasa, mengapa pengikut-Mu tidak?’
19 Isa menjawab, ‘Adakah tetamu di majlis jamuan kahwin berpuasa? Tentu tidak, selagi pengantin lelaki masih bersama mereka, tidaklah mereka berpuasa. 20 Tetapi akan tiba saatnya pengantin lelaki dibawa pergi meninggalkan mereka. Ketika itulah mereka berpuasa.
21 ‘Tiada siapa menggunakan kain baru untuk menampal pakaian lama, kerana kain baru itu akan mengecut dan semakin koyaklah pakaian lama. 22 Begitu juga, tiada siapa menuangkan air anggur yang baru ke dalam bekas kulit yang lama. Kalau dilakukan, air anggur baru akan memecahkan bekas lama, dan kedua-duanya terbuang. Air anggur baru mesti dituangkan ke dalam bekas yang baru.’
Isa dan hari Sabat
23 Pada suatu hari Sabat, Isa dan para pengikut-Nya berjalan melalui ladang gandum. Para pengikut-Nya mula memetik beberapa tangkai bijirin gandum. 24 Sebilangan orang Farisi berkata kepada Isa, ‘Lihatlah, para pengikutmu melanggar hukum Taurat pada hari Sabat!’
25 Isa menjawab, ‘Tidakkah kamu membaca apa yang dilakukan oleh Daud semasa dia dan anak buahnya kekurangan dan kelaparan? 26 Dia masuk ke khemah Allah sewaktu Abiatar berjawat sebagai Imam Besar lalu makan roti persembahan, meskipun perbuatan itu dilarang kerana hanya imam dibenarkan makan roti itu. Daud juga memberikan roti itu kepada mereka yang ada bersamanya.’
27 Isa menambah, ‘Hari Sabat diwujudkan untuk manusia, bukannya manusia diwujudkan untuk hari Sabat. 28 Jadi Putera Insan juga Junjungan atas hari Sabat.’