5
Isa menyembuhkan seorang yang dirasuk roh iblis
Lalu sampailah mereka di seberang laut, di daerah Gerasa. Sebaik-baik Isa turun dari perahu, seorang lelaki yang kerasukan roh durjana keluar dari perkuburan lalu menemui-Nya. Orang itu tinggal di kawasan perkuburan. Tiada siapa terdaya mengikatnya lagi, meskipun dengan rantai. Berkali-kali dia dirantai dan dibelenggu, tetapi dapat diputuskannya rantai itu dan dipatahkannya belenggu itu. Tiada seorang pun dapat menguasainya. Siang malam dia merayau di perkuburan dan di bukit, sambil menjerit-jerit dan mencederakan badannya dengan batu.
Dari jauh dia melihat Isa lalu lari mendekati-Nya dan sujud di hadapan-Nya. Orang itu berseru dengan suara keras, ‘Hai Isa, Putera Allah Yang Maha Tinggi, apa urusan-Mu dengan aku? Demi Allah, jangan seksa aku!’ Kerana sebelumnya Isa berkata kepadanya, ‘Roh durjana, keluarlah kamu daripada orang ini!’
Kemudian Isa bertanya kepadanya, ‘Siapa namamu?’
Orang itu menjawab, ‘Legion, kerana kami ini ramai sekali.’ 10 Dia memohon sungguh-sungguh kepada Isa supaya tidak menghalau mereka keluar dari kawasan itu.
11 Berdekatan tempat itu ada kawanan babi yang sedang mencari makan di lereng bukit. 12 Roh-roh iblis itu memohon kepada Isa, ‘Suruhlah kami pindah ke babi itu, biarlah kami masuk ke dalam tubuh babi itu.’ 13 Isa bersetuju, lalu roh-roh durjana itu keluar dan masuk ke dalam tubuh kawanan babi itu. Kesemua babi itu, kira-kira dua ribu ekor, terjun dari tepi cenuram ke dalam laut lalu mati lemas.
14 Penjaga-penjaga babi itu lari lalu menyebarkan berita itu di bandar dan di desa. Para penduduk pun keluar hendak melihat apa yang telah terjadi. 15 Mereka menghampiri Isa lalu melihat orang yang tadinya dirasuk roh iblis yang banyak itu, kini duduk diam, sudah berpakaian dan ternyata siuman. Mereka semua pun ketakutan. 16 Semua yang telah menyaksikan kejadian itu menceritakan segala-galanya tentang orang yang kerasukan roh iblis dan kawanan babi itu. 17 Oleh itu mereka meminta Isa meninggalkan daerah itu.
18 Ketika Isa menaiki perahu, orang yang tadinya dirasuk roh iblis itu memohon kepada-Nya, supaya dia dibenarkan menyertai-Nya. 19 Tetapi Isa tidak membenarkan, sebaliknya berkata, ‘Pulanglah kepada keluargamu, kepada orang sekampungmu. Beritahu mereka betapa besarnya pertolongan Tuhan bagimu dan bagaimana Dia telah berbelas kasihan pada kamu.’ 20 Orang itu pun mula menjelajahi daerah sepuluh kota dan menceritakan segala yang telah dilakukan oleh Isa untuknya. Mereka semua kehairanan.
Isa melakukan mukjizat dan penyembuhan
21 Setelah itu, Isa kembali menyeberang laut dengan perahu. Setiba-Nya di pantai sebelah sana, Dia dikerumuni orang yang ramai sekali. 22 Datanglah Yairus, seorang ketua saumaah di situ. Ketika dia melihat Isa, dia sujud di hadapan-Nya 23 dan merayu, ‘Anak perempuanku sakit tenat, hampir mati. Tolonglah datang, letakkan tangan-Mu padanya, supaya dia sembuh dan dapat terus hidup.’ 24 Isa pun pergi bersama Yairus.
Begitu ramainya orang yang mengikut Isa sehingga Dia diasak dari semua pihak. 25 Di situ ada seorang wanita yang sudah dua belas tahun menghidap penyakit pendarahan. 26 Dia telah menghabiskan segala hartanya untuk dirawat oleh ramai tabib tetapi tidak sembuh, semakin parah keadaannya. 27 Wanita itu telah banyak mendengar tentang Isa. Oleh itu, dia masuk ke tengah-tengah orang ramai itu dan mendekati Isa dari belakang lalu menyentuh jubah-Nya. 28 ‘Kiranya dapat kusentuh jubah-Nya,’ kata wanita itu, ‘tentu aku akan sembuh.’ 29 Dengan serta-merta pendarahannya berhenti. Dia merasakan dirinya sudah sembuh.
30 Pada saat itu Isa sedar ada kuasa yang telah keluar daripada-Nya lalu Dia bertanya, ‘Siapa yang menyentuh jubah-Ku?’ 31 Para pengikut-Nya berkata, ‘Lihatlah orang berasak-asak di sekeliling Engkau. Bagaimana Engkau boleh bertanya siapa yang menyentuh-Mu?’
32 Tetapi Isa memandang sekeliling-Nya, mencari orang yang telah menyentuh-Nya itu. 33 Wanita itu mengetahui apa yang telah terjadi kepada dirinya. Dia gementar ketakutan, lalu tampil dan sujud kepada Isa serta menceritakan segala-galanya. 34 Isa berkata kepadanya, ‘Hai anak-Ku, imanmu telah menyembuhkan kamu. Pergilah dengan sejahtera dan sembuhlah daripada penyakitmu.’
35 Sedang Isa berkata-kata itu, beberapa orang pesuruh datang daripada keluarga ketua saumaah dan memberitahu Yairus, ‘Anak perempuan tuan sudah meninggal. Usahlah tuan susahkan Tuan Guru lagi.’
36 Isa tidak menghiraukan kata-kata itu. Dia berkata kepada Yairus, ‘Jangan takut, percaya saja.’
37 Lalu Isa tidak membenarkan siapapun mengikut-Nya kecuali Petrus, Yakobus dan Yahya, saudara Yakobus. 38 Apabila tiba di rumah Yairus, Isa melihat keadaan yang kelam-kabut dan mendengar ratap tangis yang kuat. 39 Isa masuk lalu berkata kepada mereka, ‘Mengapa kelam-kabut dan menangis? Anak itu tidak mati, cuma tidur.’ 40 Tetapi mereka mentertawakan Isa.
Setelah menyuruh mereka semua keluar, Isa mengajak ibu bapa anak itu dan pengikut-pengikut-Nya masuk ke bilik tempat anak itu terbaring. 41 Isa memegang tangan anak itu lalu berkata kepadanya, ‘Talitha kum!’ (maksudnya, ‘Anak perempuan, Aku berkata kepadamu, bangunlah!’). 42 Anak perempuan yang berusia dua belas tahun itu segera bangkit lalu berjalan. Mereka semua sungguh kagum. 43 Tetapi dengan tegas Isa melarang mereka memberitahu sesiapa tentang perkara itu, lalu menyuruh mereka memberi anak itu makan.