10
Perceraian
Setelah itu Isa beredar dari situ lalu pergi ke daerah Yudea dan daerah di seberang Sungai Yordan. Ramai sekali orang yang datang kepada-Nya maka, seperti biasa, Dia pun mengajar mereka.
Orang Farisi datang kepada-Nya untuk menduga-Nya. Mereka bertanya, ‘Menurut hukum, bolehkah seseorang menceraikan isterinya?’
Dia menjawab, ‘Apa yang diperintahkan oleh Musa kepadamu?’
Mereka berkata, ‘Musa membenarkan seseorang lelaki menulis surat cerai dan menyingkirkan isterinya.’
Isa berkata, ‘Disebabkan hati batu kamu, Musa menuliskan peraturan itu. Tetapi sejak alam dicipta, Allah “telah menjadikan lelaki dan perempuan.” “Oleh itu seseorang lelaki harus meninggalkan ibu bapanya dan bersatu dengan isterinya, dan mereka berdua akan menjadi satu,” bukan lagi dua, tetapi satu. Maka, apa yang telah disatukan oleh Allah, janganlah manusia memisahkan.’
10 Di dalam rumah, para pengikut-Nya bertanya lagi kepada-Nya tentang hal ini. 11 Dia menjawab, ‘Sesiapa yang menceraikan isterinya dan berkahwin dengan perempuan lain, melakukan zina. 12 Begitu juga, jika seseorang wanita menceraikan suaminya dan berkahwin dengan lelaki lain, dia melakukan zina.’
Isa memberkati kanak-kanak
13 Selepas itu, orang membawa kanak-kanak kecil kepada-Nya supaya Dia menyentuh mereka, tetapi para pengikut-Nya memarahi mereka. 14 Tetapi apabila Isa melihat hal itu, Dia sungguh tidak menyenanginya, lalu berkata, ‘Biarkan kanak-kanak kecil itu datang kepada-Ku, jangan larang mereka, kerana daripada yang seperti merekalah terdirinya kerajaan Allah. 15 Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sesiapa yang tidak menerima kerajaan Allah seperti seorang anak kecil, pasti tidak akan memasukinya.’ 16 Isa mendukung dan mendakap kanak-kanak kecil itu, meletakkan tangan-Nya pada mereka, dan memberkati mereka.
Orang yang kaya itu
17 Ketika Dia sedang melangkah ke jalan, seorang datang berlari-lari, berlutut kepada-Nya dan bertanya, ‘Wahai Guru yang baik, apakah yang harus kulakukan untuk mewarisi hidup kekal?’
18 Isa berkata kepadanya, ‘Mengapa kamu memanggil-Ku baik? Tiada siapa yang baik kecuali satu, iaitu Allah. 19 Kamu tahu perintah-perintah Allah: “Jangan berzina, jangan membunuh, jangan mencuri, jangan memberi kesaksian palsu, jangan menipu, hormati ibu bapamu.” ’
20 Orang itu menjawab, ‘Tuan Guru, semua ini telah aku taati dari usia muda lagi.’
21 Isa memandangnya dengan penuh kasih lalu berkata, ‘Ada satu kekuranganmu. Pergilah, jual segala yang ada padamu, berikan hasil penjualannya kepada orang miskin, maka kamu akan mendapat harta di syurga. Sesudah itu datanglah dan ikut Aku.’
22 Tetapi orang itu sedih mendengar kata-kata ini lalu pergi dengan dukacita, kerana dia mempunyai banyak harta.
23 Kemudian Isa memandang sekeliling dan berkata kepada para pengikut-Nya, ‘Betapa susahnya bagi orang kaya untuk masuk ke dalam kerajaan Allah!’
24 Para pengikut-Nya kehairanan mendengar kata-kata-Nya. Tetapi Isa berkata lagi, ‘Anak-anakku, betapa susahnya untuk masuk ke dalam kerajaan Allah! 25 Lebih mudah bagi seekor unta memasuki lubang jarum daripada seorang kaya memasuki kerajaan Allah.’
26 Para pengikut-Nya merasa sungguh hairan, lalu berkata sama sendiri, ‘Kalau begitu, siapa yang dapat diselamatkan?’
27 Tetapi Isa memandang mereka lalu berkata, ‘Bagi manusia hal itu mustahil, tetapi tidak bagi Allah, kerana bagi Allah segala-galanya dapat dilakukan.’
28 Kemudian Petrus berkata kepada-Nya, ‘Lihatlah, kami telah meninggalkan segala-galanya dan mengikut-Mu!’
29 Isa menjawab, ‘Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, setiap orang yang telah meninggalkan rumah, adik-beradik, ibu bapa, anak isteri, atau tanah untuk-Ku dan untuk Injil 30 pasti akan menerima seratus kali ganda dalam dunia ini (rumah, adik beradik, ibu, anak-anak dan tanah – serta penganiayaan) dan pada kemudian hari, hidup kekal. 31 Tetapi ramai yang pertama akan menjadi terakhir, dan yang terakhir akan menjadi yang pertama.’
Isa memberitahu lagi tentang kematian-Nya
32 Ketika mereka di perjalanan, menuju ke Baitulmaqdis, dan Isa mendahului mereka, maka mereka sungguh takjub. Sambil mengikut-Nya, mereka berasa takut. Kemudian Dia membawa pengikut-Nya yang dua belas itu ke samping lalu memberitahu mereka apa yang akan terjadi kepada-Nya. 33 Kata-Nya, ‘Kita sekarang pergi ke Baitulmaqdis. Putera Insan akan dikhianati dan diserahkan ke tangan ketua-ketua imam dan guru-guru Taurat. Mereka akan menjatuhkan hukuman mati kepada-Nya dan menyerahkan-Nya kepada orang bukan bani Israel. 34 Mereka akan mengejek-Nya, menyebat-Nya, meludahi-Nya, dan membunuh-Nya. Pada hari ketiga Dia akan bangkit semula.’
Permintaan Yakobus dan Yahya
35 Kemudian Yakobus dan Yahya, anak-anak Zebedeus, datang kepada-Nya lalu berkata, ‘Tuan Guru, kami mahu Engkau membuat apa-apa yang kami minta untuk diri kami.’
36 Isa bertanya kepada mereka, ‘Apa yang kamu mahu Aku buat untukmu?’
37 Mereka berkata kepada-Nya, ‘Kurniailah kami duduk di kiri dan kanan-Mu dalam kemuliaan-Mu.’
38 Tetapi Isa berkata kepada mereka, ‘Kamu tidak tahu apa yang kamu minta. Sanggupkah kamu minum daripada cawan yang Kuminum, dan diimadkan dengan pengimadan yang Kuterima?’
39 Mereka menjawab, ‘Sanggup.’
Lalu Isa berkata kepada mereka, ‘Memang kamu akan minum daripada cawan yang Kuminum dan diimadkan dengan pengimadan yang Kuterima. 40 Tetapi untuk duduk di kiri dan kanan-Ku bukanlah Aku memberikannya, tetapi bagi mereka yang tempat itu disediakan untuknya.’
41 Apabila pengikut yang sepuluh orang lagi itu mendengar hal itu, mereka marah akan Yakobus dan Yahya. 42 Tetapi Isa memanggil mereka kepada-Nya lalu berkata, ‘Kamu tahu bahawa di kalangan orang bukan bani Israel, orang yang dianggap pemerintah memerintah rakyat dengan kuku besi, dan orang besar melaksanakan kekuasaan ke atas mereka. 43 Ini tidak harus berlaku di kalanganmu. Sesiapa yang ingin menjadi orang besar di antaramu hendaklah melayani yang lain. 44 Sesiapa yang ingin menduduki tempat pertama hendaklah menjadi hamba kepada semua, 45 kerana Putera Insan juga datang bukan untuk dilayani tetapi untuk melayani, dan untuk menyerahkan nyawa-Nya sebagai tebusan bagi ramai orang.’
Isa menyembuhkan Bartimeus
46 Setelah itu mereka tiba di Yerikho. Kemudian, ketika Dia keluar dari situ dengan para pengikut-Nya dan orang ramai itu, seorang buta bernama Bartimeus (anak Timeus), sedang duduk mengemis di tepi jalan. 47 Ketika dia mendengar bahawa yang lalu itu Isa orang Nasaret, dia berteriak, ‘Isa, Anak Daud, kasihanilah aku!’
48 Ramai orang menyuruhnya diam, tetapi dia semakin berteriak, ‘Anak Daud, kasihanilah aku!’
49 Oleh itu Isa berhenti dan memberi perintah supaya dia dipanggil.
Mereka pun memanggil orang buta itu sambil berkata, ‘Bergembiralah! Dan bangkitlah! Dia memanggilmu.’ 50 Orang buta itu mencampakkan jubahnya ke tepi lalu bangkit dan pergi kepada Isa.
51 Isa berkata kepadanya, ‘Apa yang kamu mahu Kubuat untukmu?’
Orang itu menjawab, ‘Tuan Guru, aku ingin melihat.’
52 Isa menjawab, ‘Pergilah, imanmu telah menyembuhkanmu.’ Serta-merta orang itu dapat melihat, lalu mengikut Isa dalam perjalanan-Nya.