4
Takhta di syurga
1 Selepas itu, aku melihat sebuah pintu terbuka di syurga. Suara seperti bunyi sangkakala yang pernah kudengar dahulu berkata kepadaku, ‘Marilah naik ke sini. Aku akan memperlihatkan apa yang pasti terjadi kemudian kelak.’ 2 Serta-merta Roh menguasaiku. Kulihat sebuah takhta di syurga dan seorang bersemayam di atasnya.
3 Dia yang bersemayam itu berwajah gilang-gemilang seperti batu yaspis dan akik. Takhta itu dikelilingi pelangi yang bersinar laksana zamrud. 4 Di sekeliling takhta itu kelihatan dua puluh empat buah takhta lain. Di atasnya duduk dua puluh empat tua-tua yang berpakaian putih dan bermahkota emas. 5 Dari takhta itu kulihat kilat memancar dan kudengar guruh berbunyi. Di hadapan takhta itu terdapat tujuh pelita yang menyala, iaitu tujuh Roh Allah. 6 Di hadapan takhta itu juga kelihatan sesuatu yang seperti lautan kaca, jernih seperti hablur.
Di sekeliling takhta itu terdapat empat makhluk, satu di setiap sisi. Bahagian depan dan belakang makhluk itu penuh dengan mata. 7 Makhluk yang pertama rupanya seperti singa; yang kedua seperti anak lembu; yang ketiga mukanya seperti muka manusia; dan yang keempat rupanya seperti burung helang sedang terbang. 8 Setiap makhluk itu bersayap enam. Di bawah sayapnya pun penuh dengan mata. Siang malam mereka tidak henti-henti menyanyi:
‘Suci, suci, sucilah Allah,
Tuhan Yang Maha Kuasa,
yang ada dahulu, yang ada sekarang dan
yang akan datang.’
9 Keempat-empat makhluk itu menyanyikan pelbagai nyanyian yang memuliakan, menyanjung dan menyatakan syukur kepada Dia yang sedang bersemayam di atas takhta, Dia yang hidup selama-lamanya. 10 Sambil itu, dua puluh empat tua-tua sujud kepada Dia yang bersemayam di atas takhta, menyembah Dia yang hidup selama-lamanya. Mereka mencampakkan mahkota mereka di hadapan takhta itu lalu berkata,
11 ‘Ya Allah, Ya Tuhan kami! Hanya Engkau
yang layak menerima kemuliaan, kehormatan dan kuasa,
kerana Engkaulah yang mencipta
segala-galanya,
dan dengan kehendak-Mu
segala-galanya wujud dan dicipta.’