8
Materai ketujuh
1 Apabila Anak Domba memecahkan materai ketujuh, syurga menjadi senyap sunyi kira-kira setengah jam.
2 Kemudian aku melihat tujuh malaikat menghadap Allah. Mereka diberi tujuh sangkakala.
3 Satu lagi malaikat datang berdiri di hadapan mazbah sambil membawa tempat bara diperbuat daripada emas. Dia diberi banyak setanggi untuk ditambahkan kepada doa semua orang salih dan untuk dipersembahkan di atas mazbah emas di hadapan takhta. 4 Doa orang salih bersama asap setanggi yang dibakar itu naik berkepul-kepul dari tangan malaikat yang menghadap Allah. 5 Kemudian malaikat itu mengisi tempat bara dengan bara api dari mazbah lalu melontarkannya ke bumi. Dalam sekelip mata kedengaran guruh petir dan kelihatan kilat sabung-menyabung lalu seluruh bumi gempa.
Empat sangkakala yang pertama
6 Kemudian tujuh malaikat yang memegang tujuh sangkakala itu bersedia untuk meniupnya.
7 Malaikat pertama meniup sangkakalanya. Hujan batu dan api bercampur darah terus dilemparkan ke bumi. Lalu sepertiga bumi, dan sepertiga pohon-pohon serta segala tumbuh-tumbuhan yang hijau hangus dibakar.
8 Kemudian malaikat kedua meniup sangkakalanya. Sesuatu yang kelihatan seperti gunung besar yang menyala dicampakkan ke dalam laut. Sepertiga air laut menjadi darah. 9 Sepertiga makhluk di laut mati dan sepertiga kapal musnah.
10 Kemudian malaikat ketiga meniup sangkakalanya. Sebuah bintang besar yang menyala-nyala seperti suluh gugur menimpa sepertiga sungai dan mata air di bumi. 11 (Bintang itu bernama ‘Apsintus’ iaitu ‘Pahit’.) Sepertiga air menjadi pahit dan ramai orang mati kerana meminumnya.
12 Kemudian malaikat keempat meniup sangkakalanya. Sepertiga matahari, bulan dan bintang terpukul, sehingga tidak dapat bersinar sepertiga waktu. Matahari tidak memancar sepertiga siang, manakala bulan dan bintang tidak bercahaya sepertiga malam.
13 Kemudian aku melihat dan mendengar seekor burung helang yang terbang tinggi berseru nyaring, ‘Sengsara! Sengsara! Sengsaralah sekalian penghuni bumi kerana tiga malaikat lagi yang akan meniup sangkakalanya.’