20
Kerajaan seribu tahun
1 Kemudian aku melihat malaikat turun dari syurga, tangannya memegang kunci jurang serta rantai yang besar. 2 Dia menangkap naga, ular purba itu, iaitu Iblis atau Syaitan, lalu mengikatnya selama seribu tahun. 3 Dia menghumbankannya ke dalam jurang itu, dan menutupnya serta memateraikannya, supaya ia tidak dapat lagi memperdaya umat manusia hingga tamat tempoh seribu tahun. Selepas itu ia akan dilepaskan seketika.
4 Aku melihat beberapa takhta, lantas orang duduk di atasnya dan diberi kuasa sebagai hakim. Aku melihat roh-roh orang yang telah dipancung kepala kerana memberikan kesaksian tentang Isa al-Masih dan firman Allah, yang tidak menyembah binatang itu atau patungnya, dan tidak menerima tandanya di dahi atau di tangan. Mereka itu hidup dan memerintah bersama al-Masih selama seribu tahun. 5 Tetapi orang mati yang lain tidak hidup semula hingga genap masa seribu tahun itu. Inilah kebangkitan yang pertama. 6 Diberkatilah dan sucilah mereka yang dapat menyertai kebangkitan pertama. Kematian kedua tiada kuasa atas mereka. Mereka akan menjadi imam Allah dan al-Masih, dan akan memerintah di sisi-Nya selama seribu tahun.
Iblis ditewaskan
7 Setelah tamat tempoh seribu tahun itu, Iblis akan dibebaskan dari kurungan. 8 Dia akan keluar untuk menipu bangsa-bangsa di empat penjuru bumi, Gog dan Magog, dan mengumpulkan mereka untuk berperang. Bilangan mereka seperti pasir di tepi laut. 9 Mereka naik ke seluruh bumi dan mengepung khemah orang salih serta kota yang dikasihi itu. Lalu Allah menurunkan api dari syurga serta menghanguskan mereka. 10 Iblis yang telah memperdaya mereka itu terus dihumbankan ke dalam lautan api dan belerang, tempat binatang dan nabi palsu telah dicampakkan. Mereka akan diseksa siang malam selama-lamanya.
Orang mati dihakimi
11 Kemudian aku melihat sebuah takhta yang besar berwarna putih dan Dia yang bersemayam di atasnya. Bumi dan langit lenyap menghilang dari hadirat-Nya dan tiada lagi tempat bagi kedua-duanya. 12 Aku melihat orang mati, kecil dan besar, berdiri di hadapan Allah, dan kitab-kitab dibuka. Sebuah kitab lagi dibuka, iaitu Kitab Hidup. Orang mati itu dihakimi menurut perbuatan mereka, berdasarkan segala yang tersurat di dalam kitab-kitab itu. 13 Laut menyerahkan orang mati yang di dalamnya; Maut dan Alam Maut menyerahkan orang mati yang di dalamnya. Semuanya dihakimi, menurut perbuatan masing-masing. 14 Kemudian Maut dan Alam Maut dihumbankan ke dalam lautan api. Inilah kematian kedua iaitu kematian di lautan api. 15 Semua manusia yang tidak tertulis namanya di dalam Kitab Hidup dicampakkan ke dalam lautan api.