10
Saudara-saudaraku, hasrat hatiku dan doaku kepada Allah tentang orang Israel ialah semoga mereka akan diselamatkan. Aku dapat memberi kesaksian bahawa mereka bersungguh-sungguh dalam ibadat kepada Allah, tetapi kesungguhan mereka tidak berasaskan pengetahuan yang benar. Oleh sebab mereka tidak mengetahui kebenaran yang datang daripada Allah dan mereka berusaha menegakkan kebenaran mereka sendiri, maka mereka tidak tunduk kepada kebenaran Allah. Kebenaran kerana iman al-Masih adalah titik tamat hukum supaya kebenaran didapati oleh setiap orang yang beriman.
Musa telah menulis tentang kebenaran berasaskan hukum Taurat, ‘Sesiapa yang melakukan hal-hal ini akan hidup mengikutnya.’ Tetapi kebenaran berasaskan iman berkata demikian, ‘Jangan bertanya dalam hatimu, “Siapa yang akan naik ke syurga?” (untuk membawa al-Masih turun) atau, “Siapa yang akan turun ke alam kubur?” (untuk membawa al-Masih naik daripada kematian). Apakah yang dikatakan? ‘Firman itu begitu dekat denganmu, di mulutmu dan di hatimu (iaitu firman tentang iman yang kami isytiharkan): Jika kamu akui dengan mulutmu bahawa Isa adalah Junjungan Yang Esa dan percaya dalam hatimu bahawa Allah telah membangkitkan-Nya daripada kematian, kamu akan diselamatkan; 10 kerana dengan hatimu kamu beriman dan diperbenar, dan dengan mulutmu kamu mengaku lalu diselamatkan. 11 Sebagaimana tersurat di dalam kitab suci, ‘Sesiapa yang percaya kepada-Nya tidak akan diaibkan.’ 12 Kerana tidak ada perbezaan antara orang Israel dengan bangsa lain, kerana Tuhan yang sama berkuasa ke atas semuanya dan melimpahkan berkat ke atas semua yang menyeru kepada-Nya. 13 Kerana ‘Sesiapa yang menyeru nama Tuhan akan diselamatkan.’
14 Jadi, bagaimana mereka dapat menyeru kepada-Nya sedangkan mereka tidak beriman kepada-Nya? Dan bagaimana mereka dapat beriman kepada-Nya sedangkan mereka tidak pernah mendengar tentang-Nya? Dan bagaimana mereka dapat mendengar sedangkan tiada sesiapapun yang mengajar mereka tentang-Nya? 15 Dan bagaimana orang dapat mengajar kecuali dihantar? Sebagaimana tersurat di dalam kitab suci, ‘Alangkah indahnya kaki mereka yang membawa berita baik!’
16 Sebagaimana kata Yasyaya, ‘Tuhan, siapa yang percaya akan perkhabaran yang kami sampaikan?’ 17 Oleh itu iman datang daripada mendengar perkhabaran itu, dan perkhabaran itu didengar melalui sabda al-Masih. 18 Tetapi aku bertanya, ‘Tidakkah mereka mendengar?’ Tentu sekali:
 
‘Suara mereka telah tersebar ke serata bumi,
dan kata-kata mereka telah sampai ke seluruh pelosok dunia.’
19 Sekali lagi aku bertanya, ‘Tidakkah orang Israel mengerti?’ Pertama, Musa berkata:
 
‘Aku akan membuatmu iri hati
dengan orang yang bukan satu bangsa;
Aku akan membuatmu marah dengan satu bangsa
yang tidak mengerti.’
 
20 Kemudian Yasyaya lantang berkata,
 
‘Aku telah ditemui oleh mereka
yang tidak mencari-Ku;
Aku menyatakan diri-Ku kepada orang
yang tidak memohon kehadiran-Ku.
 
21 Tetapi kepada orang Israel dia berkata,
 
‘Sepanjang hari telah Kuhulurkan tangan-Ku
kepada bangsa yang ingkar dan
keras kepala.’